DAYANG NURFAIZAH
DAYANG NURFAIZAH
Najiy Jefri

PENYANYI popular Dayang Nurfaizah muncul dengan single raya, Di Pagi Raya Ini yang ditujukan khas buat petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi wabak Covid-19.

Dayang berkata, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu dan menyifatkan ia sesuatu yang istimewa kepada golongan terbabit.

"Apabila diberitahu lagu ini ditujukan untuk siapa dan berkenaan apa saya terus bersetuju. Walaupun orang kata lagu raya ini perlu ada suntikan muzik tradisional tapi bagi saya lagu ini sangat istimewa.

"Lagu dan lirik digubah khas untuk mereka yang bertungkus-lumus mengharungi detik getir memerangi wabak yang melanda negara dan dunia sekarang ini. Saya amat menghargai pengorbanan mereka. Diharapkan lagu ini dapat memberi mesej positif dan melekat di hati semua pendengar," katanya.

Menurut Dayang, rakaman lagu ciptaan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar itu dibuat sendiri di rumah sekali gus memberi cabaran baru dalam kerjayanya.

"Bukan mudah nak rakam lagu di rumah kerana saya tidak mempunyai bilik khas untuk sesi rakaman. Jadi saya terpaksa membeli beberapa alat dan mikrofon yang sesuai untuk merakam lagu ini di rumah.

"Untuk lagu ini saya rakam banyak kali sebab bimbang kualiti lagu yang dirakam tidak memuaskan hati ramai. Kalau di studio ada yang pantau dan tidak mengambil masa yang panjang, tapi disebabkan saya perlu buat sendiri, rakaman lagu ini ambil masa hampir sehari. Itu belum lagi dengan masalah persekitaran seperti pastikan keadaan di rumah tidak bising dan sebagainya.

"Menerusi single ini saya banyak belajar banyak ilmu baru. Kalau dulu ada yang tolong tapi sekarang ini saya perlu sesuaikan diri dengan normal baharu yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Izham berkata, lagu yang dicipta khas untuk petugas barisan hadapan itu ditulis sebelum Ramadan dan hanya Dayang satu-satunya penyanyi yang berada dalam fikiran.

"Saya masih ingat lagi ketika menulis lagu ini iaitu sekitar jam 6.40 pagi. Ketika melodi itu sampai saya terus berlari ke keyboard dan menghantar kepada komposer Audi Mok.

"Dia memberitahu melodi lagu ini boleh diketengahkan dan saya menulis pula liriknya. Situasi yang melanda negara ketika ini menggerakkan hati saya untuk berkarya, mengenangkan betapa sukarnya barisan hadapan bertarung musuh yang tidak dapat dilihat dan mereka ini tidak dapat bersama dengan keluarga yang tersayang.

"Sebenarnya sudah lama saya tidak mengilhamkan lagu baru. Saya harap lagu ini diterima baik kerana saya rasakan melodinya sangat dekat di hati rakyat Malaysia," katanya.

Di Pagi Raya Ini boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 6:11 PM