Lakonan Farahdhiya dan Fahrin Ahmad dalam drama Selamanya Suri Cinta
Lakonan Farahdhiya dan Fahrin Ahmad dalam drama Selamanya Suri Cinta
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Farahdhiya bakal muncul dengan single baharu berjudul Tak Terganti yang dicipta khas buat arwah bapanya, Allahyarham Mohd Amin Zubir, yang meninggal dunia dua tahun lalu. 

Farahdhiya, 38, atau nama sebenarnya Nur Farahdhiya Mohd Amin berkata, melodi lagu itu tercetus ketika dia sedang mandi. 

"Saya tak pernah rancang pun nak buat lagu untuk arwah. Cuma, nak dijadikan cerita, awal tahun ini, masa tu saya di bilik hotel. Kebetulan sedang mandi, saya teringat arwah dan secara tiba-tiba melodi keluar. Memang masa tu sambil mandi sambil nangis.  

"Habis mandi, saya terus rakam melodi dan buat lirik untuk habiskan lagu itu. Bagi saya, lagu ini sangat dekat dengan saya. Sebab ia mengisahkan perasaan saya kepada arwah bapa. Hubungan kami sangat rapat. Dia bukan saja bapa, tapi dialah kawan dan sahabat saya. 

"Biarpun selepas dua tahun berlalu, pemergiannya tetap memberikan kesan sangat besar dalam diri saya. Saya masih terasa kehilangannya," katanya. 

Menurut Farahdhiya, timbul kesukaran ketika proses rakaman lagu Tak Terganti dijalankan di studio.  

"Diakui susah nak rakam lagu ini sebab perasaan sedih ada. Cuma saya kena kawal. Namun, kerisauan saya lebih pada kalau nak menyanyikan lagu ini nanti secara langsung. Ketika itu memang kena pandai kawal. Kalau di studio kita boleh rakam berulang kali. Bukan apa, saya sangat sensitif bila bercakap mengenai arwah," katanya. 

Terdahulu Farahdhiya ditemui pada sesi temubual drama Selamanya Suri Cinta bersama media secara virtual, hari ini.

Farahdhiya dalam drama Selamanya Suri Cinta
Farahdhiya dalam drama Selamanya Suri Cinta

 

Berkongsi mengenai drama 20 episod terbitan Suhan Movies itu, Farahdhiya yang popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati melakonkan watak Maisarah. 

"Dalam drama ini Maisarah adalah kawan baik kepada Wanda lakonan Siti Nordiana yang mana kami berkawan dari zaman kolej, menjadi dewasa dan selepas kahwin pun masih berkawan baik. Kami juga saling berkongsi masalah rumah tangga. Timbul isu salah faham dalam persahabatan mereka apabila Maisarah mula kerja dengan suami Wanda. 

"Saya menerima tawaran berlakon dalam drama ini pertama, sebab saya sudah lama tidak berlakon dengan Suhan Movies. Kedua, apabila membaca skrip, jalan cerita menarik. Drama ini sepatutnya menjalani penggambaran tahun lepas, tapi ditunda," katanya. 

Selain Farahdhiya, drama Selamanya Suri Cinta yang diarahkan oleh Zamri Zakaria dan nukilan skrip oleh Azilah Wahab, Ramlah Rashid, Hasnita Hamidi dan Haslizawaty Hassan turut menampilkan pelakon lain seperti Siti Nordiana, Sham Visa dan Fahrin Ahmad. 

Drama ini sudah mula bersiaran pada 15 Julai lalu, ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat, jam 9.30 malam di TV9.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:05 PM