Penyanyi Lan Solo, 36, kehilangan bapa tersayang, Mohamed Yusof Isa, 72, yang meninggal dunia akibat kegagalan organ berfungsi di Hospital Taiping, Perak, jam 4 pagi, hari ini.
Penyanyi Lan Solo, 36, kehilangan bapa tersayang, Mohamed Yusof Isa, 72, yang meninggal dunia akibat kegagalan organ berfungsi di Hospital Taiping, Perak, jam 4 pagi, hari ini.
Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Lan Solo, 36, kehilangan bapa tersayang, Mohamed Yusof Isa, 72, yang meninggal dunia akibat kegagalan organ berfungsi di Hospital Taiping, Perak, jam 4 pagi, hari ini.

Isterinya, Sheila Hassim ketika dihubungi berkata, walaupun Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof reda dengan ujian ini, tapi dia amat sedih kerana tak dapat berjumpa dengan arwah bapanya buat kali terakhir.

"Jadi, sebagai anak ada rasa terkilan itu kerana situasi pandemik ketika ini banyak membataskan pergerakan. Kita juga tak dibenarkan ke hospital untuk menziarah pesakit," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya penyakit dihidapi bapa mentuanya itu, Sheila berkata, Allahyarham ada beberapa penyakit seperti darah tinggi, kencing manis selain masalah buah pinggang dan paru-paru.

Menurut Sheila, sebelum ini dia dan suami sering berulang alik ke hospital menguruskan pemeriksaan kesihatan ibu mentua, Rasidah Nasarudin, 66, yang selalu kurang sihat.

"Namun, abah yang pergi dulu dan itu sangat mengejutkan kami. Apapun, terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan abah. Saya mohon juga sedekahkan Al- Fatihah buat Allahyarham.

"Insya-Allah, dengan kata-kata semangat yang terus anda berikan buat kami sekeluarga akan menjadi pemangkin semangat untuk menghadapi masa-masa yang menyedihkan ini dengan tabah dan sabar. Terima kasih banyak-banyak," katanya.

Sheila berkata, selepas selesai urusan memandikan jenazah, kapan dan solat, jenazah bapa mentuanya akan dibawa ke Puchong, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 11:36 AM