Redzuan Muharam


Kuala Krai: Impian perancang perkahwinan, Nurhayati Bachi' untuk berwalikan bapanya, Bachi' Ismail tidak kesampaian apabila insan kesayangannya itu meninggal dunia lima jam sebelum majlis akad nikahnya.

Lebih menyedihkan apabila majlis perkahwinan dengan suami, Muhamad Faris Azri Adnan, 29, yang sepatutnya diraikan dengan gembira bertukar menjadi kenduri tahlil.

Bercerita lanjut, Nurhayati, 26, berkata, bapanya yang berusia 66 tahun itu meninggal kira-kira jam 4 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, dia dikejutkan dengan berita itu selepas menerima panggilan daripada ahli keluarga lain sewaktu sedang tidur.

"Malam Khamis lalu, abah sesak nafas dan minta hantar ke hospital jadi emak pun hubungi ambulans.

"Wad penuh dan abah hanya dapat masuk keesokannya (Jumaat) dan kali terakhir saya bersembang dengan abah adalah petang hari berkenaan menerusi panggilan video.

"Waktu itu, abah sedar lagi cuma pakai alat bantuan pernafasan dan saya beritahunya supaya kuat untuk jadi wali saya. Abah senyum dan angkat tangan.

"Malam hari berkenaan, saya ke wad untuk melawat abah yang tidak sedarkan diri. Saya bisik di telinganya minta dia kuat dan nampak abah angguk kepala namun tak sangka itu kali terakhir bersama dengan abah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NURHAYATI ditemani ibunya, Zaiton Omar di atas pelamin ketika majlis akad nikah. FOTO Ihsan Nurhayati Bachi’
NURHAYATI ditemani ibunya, Zaiton Omar di atas pelamin ketika majlis akad nikah. FOTO Ihsan Nurhayati Bachi’

Nurhayati berkata, majlis pernikahannya sepatutnya diadakan jam 9 pagi Sabtu lalu namun ditunda ke jam 2 petang bagi mengurus dan menyempurnakan urusan pengebumian jenazah bapanya.

"Jenazah abah selamat dikebumikan jam 11 pagi. Saya tak batalkan pernikahan kerana abah pernah pesan, andai apa jadi sekalipun teruskan saja majlis macam biasa.

"Cuma, kenduri kahwin di rumah kami sekeluarga niatkan untuk tahlil arwah abah.

"Perasaan waktu nikah bercampur baur dan cuba tahan daripada menangis tetapi mengalir juga air mata selepas dengar suami lafazkan akad.

"Sedihnya kerana abah sepatutnya ada di depan saya menjadi wali namun tiada di situ kerana sudah pergi buat selamanya," katanya.

Sebagai anak, Nurhayati sangat terkesan kerana rapat dengan bapanya.

"Sejak tiga tahun lalu, abah mula kena serangan jantung jadi saya yang banyak habiskan masa menjaganya selain berulang alik membawanya ke hospital.

"Boleh dikatakan, hospital rumah keduanya jadi saya reda dengan pemergian abah kerana dia kini tak sakit lagi.

"Cuma, saya ada rancang bawa abah berjalan selepas berkahwin namun tak kesampaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 8:01 PM
GAMBAR kenangan Nurhayati dan bapanya, Bachi’ Ismail yang meninggal dunia pagi Sabtu lalu. FOTO Ihsan Nurhayati Bachi’
GAMBAR kenangan Nurhayati dan bapanya, Bachi’ Ismail yang meninggal dunia pagi Sabtu lalu. FOTO Ihsan Nurhayati Bachi’