Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza.

Kuala Lumpur: Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan akaun palsu menggunakan nama dan video lamanya di Facebook.

Siti berkata, dia tahu ramai keliru apatah lagi akaun-akaun itu kelihatan seperti asli untuk mengaburi mata dan memanipulasikan orang ramai.

"Saya sudah banyak cakap pasal ini. Jangan percaya akaun yang menggunakan nama serta video saya. Mereka ulang pakai video 'live' lama saya untuk mengelirukan ramai dan menawarkan duit.

"Tolong jadi bijak dan waspada. Ya, ada saya baca mereka orang kampung mana tahu apa-apa, harap wang ditawar itu dapatlah tampung hidup. Jangan ingat itu akaun asli. Tolong jangan percaya dan tertipu," katanya.

Siti turut menegaskan dia dan suami, Datuk Seri Khalid Jiwa, 63, tidak terbabit dengan sebarang produk lebatkan rambut seperti di satu akaun Facebook.

"Ada satu produk menggunakan gambar saya dan suami bagaimana tumbuh serta lebatkan rambut. Kami tak pernah pun menjadi duta mereka. Apapun yang disebut mengenai syampu itu tidak benar," katanya.

Terdahulu, Siti berkongsi mengenai perkara itu menerusi sebuah hantaran video di Instagram.

Menurutnya, dia ingin jelaskan secara terperinci kepada orang ramai supaya tidak mudah ditipu 'scammer'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 10:13 AM