Suraya Roslan


KEHILANGAN orang tersayang dalam tempoh tiga bulan.

Itu keperitan yang terpaksa ditanggung adik kepada Abam Bocey, Ali Puteh atas pemergian abang tersayang.

Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, baru saja kehilangan anak tersayang Sharifah Ainul Mardhiah yang berusia tiga bulan pada 26 November lalu.

Namun, Ali yang juga pelawak dari kumpulan Puteh diuji sekali lagi hari ini apabila kehilangan abang tersayang buat selama-lamanya.

Walaupun perit untuk melalui dugaan itu, namun Ali nekad untuk meneruskan perjuangan abangnya dalam bidang seni dan mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga.

“Anak saya baru meninggal dunia tiga bulan lalu dan hari ini saya diuji sekali lagi apabila abang pergi mengadap Ilahi.

“Sebenarnya saya tidak mampu nak tahan benda ini. Kadang-kadang saya termenung memikirkan nasib hidup, tetapi saya perlu percaya pada qada dan qadar Allah. Saya diuji untuk diberi yang lebih baik, jadi saya kena telan dan tahan segala-galanya,” katanya ketika ditemui di Masjid Zakaria, Gombak.

Menurutnya, selepas ini dia perlu akui hidupnya sudah tiada insan bergelar abang untuk rujukan dan berkongsi apa saja.

“Selepas ini tiada istilah abang untuk hidup saya, sebab dalam industri hiburan apa-apa saya akan rujuk abang, sekarang saya perlu berjalan sendiri untuk terus hidup,” katanya.

Menceritakan detik terakhir abangnya itu, Ali berkata, dia ke rumah Abam selepas menerima panggilan daripada isteri abangnya itu mengatakan dia pengsan.

“Saya goyang perut Abam tetapi tidak menyahut. Saya goncang kepala dia saya cakap abang bangun, angah datang dengan mak. Saya tanya lagi kau kenapa macam ini tapi dia tidak menyahut. Dalam hati saya macam agak Abam sudah tiada tapi saya kuatkan juga suruh dia bangun.

“Saya pegang muka arwah dan rapatkan muka saya ke mukanya. Saya sudah agak dia sudah tinggalkan kita semua, sebagai adik memang tidak sangka sebab arwah tiada sakit cuma dua hari ini macam demam,” katanya.

Katanya, dia masih ingat apabila menjuarai Maharaja Lawak Mega baru-baru ini, Abam adalah orang yang paling gembira.

“Dia orang pertama peluk saya dan cakap saya hebat dan handal kerana sebelum ini saya tidak mampu kalahkan dia, tetapi tahun ini saya menang.

“Dia peluk saya lama dan bangga dengan kemenangan saya, tidak sangka itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, terlampau banyak kenangan pahit dan manis mereka bersama terutama selepas kematian bapa pada 2009, kehidupan mereka adik beradik terlampau susah.

“Tahun 2010 keluarga kami masih makan nasi berlaukkan garam, kami tiada apa-apa. Sehingga Abam berjaya mencari rezeki untuk keluarga dan namanya popular, dia cakap saya akan mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni,” katanya.

Ali berkata, selepas ini dia akan mengambil alih menjaga ibunya seperti yang diinginkan arwah.

“Abam memang anak yang baik, tengok hari ini, ramai yang datang ke masjid, hospital, rumah dan kubur. Terbukti ramai orang yang senang dengan sikap arwah,” katanya.

Kenangan mi rebus Abam Bocey

Abam Bocey meninggal dunia

'Kenapa kau pergi dulu Bam?'

'Kepala Abam sakit bagai dicucuk-cucuk': Norwahidah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:24 PM
JENAZAH Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan tiba di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu untuk dikebumikan. FOTO ASYRAF HAMZAH
JENAZAH Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan tiba di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu untuk dikebumikan. FOTO ASYRAF HAMZAH