REAKSI Ibu kepada Abam Bocey, Sabariah Arshad, 63 sebak ketika  ditemui di Masjid Gombak Utara. FOTO ASYRAF HAMZAH
REAKSI Ibu kepada Abam Bocey, Sabariah Arshad, 63 sebak ketika ditemui di Masjid Gombak Utara. FOTO ASYRAF HAMZAH
Suraya Roslan


“SEPATUTNYA mak pergi dulu dan bukan Abang (Abam), bangunlah Abang, tak kesian (kasihan) ke kat mak,” itu tangisan menyayat hati ibu kepada pelawak popular, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, atau Abam Bocey yang meninggal dunia dalam keadaan mengejut hari ini.

Sabariah Arshad, 63, dilihat tidak berhenti menangis mengenangkan anak keduanya dijemput Ilahi secara tiba-tiba.

Lebih menyedihkan, sebaik mengetahui Abam sudah tiada, Sabariah menggoncang tubuh anaknya berulang kali namun anaknya disahkan sudah tidak bernyawa.

Abam yang menjadi tonggak keluarga disahkan meninggal dunia jam 7.15 pagi di kediamannya di Kampung Sungai Salak, Jalan Gombak, Batu 10, Gombak, hari ini.

Sabariah ketika ditemui berkata, kali terakhir dia berjumpa Abam dua hari lalu yang ketika itu mengadu tidak ada selera makan.

Menurut Samariah, pagi tadi dia ke rumah seorang lagi anaknya, Syed Ali Mubarak atau Ali Puteh kerana memintanya menghantar ke klinik.

“Tiba-tiba isteri Abam telefon saya mengatakan Abam pengsan. Saya bergegas pulang ke rumah bersama Ali. Apabila tiba di rumah, saya menggoncang tubuh Abam berulang kali namun dia sudah tiada.

“Malah, sebaik mengetahui dia sudah tiada, berulang kali saya memegang pipinya supaya jangan tinggalkan saya, kasihankan saya,” katanya ketika ditemui di Masjid Gombak Utara, di sini.

Sabariah berkata, kehilangan Abam sangat terkesan dan dirasai kerana anaknya itu seorang yang baik dan sangat menghormati orang tua.

“Dia selalu ingatkan saya untuk makan ubat, kalau saya sakit dia yang akan susah hati. Abam memang anak yang baik, memang tak boleh lawan kebaikan dia, Ya Allah dia sangat baik,” katanya.

Katanya, walaupun sudah berkahwin Abam membelikan Sabariah sebuah kereta besar untuk kegunaan ibunya itu hasil wang kemenangan menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega.

“Tetapi apa guna saya ada kereta ini kerana tuannya pun sudah tiada. Pastinya saya akan rindu dengan Abam, kami sangat kamceng (rapat) sebelum dan selepas namanya popular,” katanya.

Katanya, pemergian Abam dalam keadaan mengejutkan membuatkan dia terkesima dan sukar percaya.

“Saya susah nak percaya pada mulanya, sebab itu saya goyang badan dia supaya bangun berulang kali namun doktor sudah mengesahkan Abam sudah tiada jam 7.15 pagi.

“Sebagai ibu, apa pilihan saya ada selain reda dan mendoakan yang baik-baik untuk arwah anak saya,” katanya.

Berita berkaitan

Kenangan mi rebus Abam Bocey

Abam Bocey meninggal dunia

'Kenapa kau pergi dulu Bam?'

'Kepala Abam sakit bagai dicucuk-cucuk': Norwahidah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:58 PM