UTHMAN Hamzah (gambar kecil, kiri). FOTO Instagram dan Arkib NSTP
UTHMAN Hamzah (gambar kecil, kiri). FOTO Instagram dan Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


“MUNGKIN jika suatu hari nanti anakanda Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey terbaca nukilan ini, ketahuilah ayahandamu seorang yang baik dan disenangi semua orang,” demikian kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Titipan itu ditujukan khas beliau kepada anak lelaki Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan al-Juffrey atau Abam Bocey yang meninggal dunia, Isnin lalu.

Menurutnya, biarpun sibuk dengan rutin hariannya, beliau tidak ketinggalan mengikuti perkembangan pemergian Abam di media sosial.

“Pada hari pemergiannya, tergerak di hati saya untuk menziarahi jenazahnya.

“Namun, kekangan masa yang amat padat tidak memungkinkan saya berada bersama-sama di tanah perkuburan atau masjid.

“Pada malam itu, saya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Sultan Idris Shah II, Slim River, Perak.

“Pun begitu, saya tetap mengikuti proses daripada awal hinggalah ketika jenazah dikuburkan melalui media sosial,” katanya menerusi catatan di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Beliau menyifatkan pemergian Abam sebagai kematian dan penamat yang baik.

“Mungkin ramai tertanya-tanya. Walaupun sudah hampir seminggu kematiannya, nama Abam masih lagi meniti di bibir orang ramai.

“Mengapa boleh jadi sedemikian rupa? Adakah kerana kemasyhurannya? Atau kerana lawaknya yang sentiasa diingati?

“Bagi saya, bila mana kematiannya sentiasa disebut-sebut, itulah petanda husnul khatimah,” katanya.

Dalam perkongsian itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Abam.

“Semoga dikurniakan ketabahan dan kesabaran, khususnya kepada isteri beliau dalam membesarkan anak yang dikasihi, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

“Saya tidaklah mengenali Abam Bocey secara dekat. Cuma sempat beberapa kali menonton jenakanya di kaca televisyen.

“Beliau memang mempunyai bakat membuat lawak yang semula jadi. Itulah antara anugerah Allah SWT kepada beliau,” katanya.

Berita Berkaitan

Sikap Abam buka minda masyarakat - Eddie Hamid

Jadikan Abam Bocey ikon masyarakat

Bocey terus hidup tanpa Abam

Belasungkawa Abam Bocey

Kenangan mi rebus Abam Bocey

Abam Bocey meninggal dunia

'Kenapa kau pergi dulu Bam?'

'Kepala Abam sakit bagai dicucuk-cucuk': Norwahidah

'Ya Allah, Abam memang sangat baik' - ibu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:24 PM