Suraya Roslan


“SAYA teringin menyerahkan lukisan ini kepada rakan rapat arwah, Achey dan Fad sebagai penghormatan serta kenangan seorang peminat yang begitu mengagumi bakat dan budi pekerti arwah Abam.”

Itu hasrat remaja, Abdul Azim Mohd Rozahar, 15, yang meluahkan kesedihan pemergian pelawak itu dengan melukis potret arwah Abam Bocey atau nama sebenar Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan, 32.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Bentara Dalam, Segamat, Johor itu berkata, dia mengambil masa dua jam bermula 12 tengah hari, Isnin lalu untuk melakar lukisan dengan menulis nama ‘Abam’ sehingga membentuk sebuah potret.

“Sebaik mengetahui arwah Abam meninggal dunia, saya begitu sedih dan meluahkan kesedihan dengan melukis potret arwah.

“Saya anggarkan 1,000 patah perkataan nama Abam untuk membentuk sebuah lukisan yang lengkap dan bahagian paling sukar untuk melukis adalah muka, rambut dan mulut,” katanya kepada Harian Metro.

ABDUL Azim melukis potret arwah Abam Bocey dan berhasrat menyerahkannya kepada rakan rapat arwah, Achey dan Fad. FOTO Ihsan Abdul Azim Mohd Rozahar
ABDUL Azim melukis potret arwah Abam Bocey dan berhasrat menyerahkannya kepada rakan rapat arwah, Achey dan Fad. FOTO Ihsan Abdul Azim Mohd Rozahar

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia mula meminati arwah sejak menyertai program Bintang Mencari Bintang dan apa membuatkannya lebih kagum selepas pemergiannya terlalu banyak cerita mulia yang keluar hingga kini.

Menurutnya, dia sangat berharap dapat menyerahkan lukisan itu kepada Achey atau Fad sebagai usaha menyokong perjuangan seni kedua-dua rakan karib arwah.

“Selagi lukisan ini berada di tangan saya, rasa tidak sedap hati pula selagi tidak serahkan kepada mereka,” katanya.

Video lukisan potret arwah Abam itu yang dimuat naik di platform Tik Tok tular di media sosial hingga mengundang perhatian warganet.

Isnin lalu, pemergian arwah Abam ditangisi rakyat negara ini, malah kira-kira 2,000 tetamu hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffery yang kini berusia lima bulan.

Berita Berkaitan

'Ayahmu baik Uthman Hamzah'

Sikap Abam buka minda masyarakat - Eddie Hamid

Jadikan Abam Bocey ikon masyarakat

Bocey terus hidup tanpa Abam

Belasungkawa Abam Bocey

Kenangan mi rebus Abam Bocey

Abam Bocey meninggal dunia

'Kenapa kau pergi dulu Bam?'

'Kepala Abam sakit bagai dicucuk-cucuk': Norwahidah

'Ya Allah, Abam memang sangat baik' - ibu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 9:57 PM