(Dari kiri), Kiko, Mustaine, Verbeuren dan Ellefson. FOTO MEGADETH
(Dari kiri), Kiko, Mustaine, Verbeuren dan Ellefson. FOTO MEGADETH
HM Digital

Los Angeles : Band thrash metal popular Megadeth akhirnya memenangi trofi Grammy pertama mereka selepas 11 kali dicalonkan.

Megadeth memenangi kategori Persembahan Metal Terbaik menerusi album Dystopia yang juga album studio ke-15 mereka di Grammy Awards ke-59 yang berlangsung di Staples Center, Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Megadeth yang kini dianggotai Dave Mustaine (penyanyi, gitar), David Ellefson (bass), Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbeuren (dram) pertama kali dicalonkan di Grammy Awards pada 1991 menerusi album Rust In Peace.

Mereka antara pengasas muzik thrash metal pada awal 1980-an serta diiktiraf sebagai ‘Big Four’ bersama Metallica, Anthrax dan Slayer.

Ketika Megadeth diumumkan sebagai pemenang kategori itu, Staples Center bergema dengan lagu Master of Puppets nyanyian Metallica.

Sama ada ia satu kesilapan atau tidak, tetapi ia agak sinikal kerana Mustaine adalah bekas pemain gitar Metallica dan lagu itu dipasarkan pada 1986 iaitu tiga tahun selepas Mustaine dipecat daripada Metallica.

Bagaimanapun, ‘kesilapan’ itu nyata tidak dipedulikan Megadeth.

“Selepas 12 kali mencuba, baru berjaya. Kali terakhir kami di sini (pada 2011), kami bertanya dengan Kenny G, berapa kali dia mencuba? Dan dia berkata 21 kali! Oh Tuhan, jika 21 kali, saya tak tahu saya boleh hidup atau tidak untuk tempoh itu,” kata Mustaine.

Dalam perkembangan lain, Megadeth bakal mengadakan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 4 Mei ini sempena konsert jelajah Killing Road yang bermula tahun lalu di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 3:33 PM