MEGADETH (dari kiri), Dirk, David, Dave dan Kiko.
MEGADETH (dari kiri), Dirk, David, Dave dan Kiko.


Ketika Metallica mengesahkan kehadiran mereka bagi menjayakan konsert sulung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Ogos 2013 ramai yang teruja dan ada juga tidak percaya.

Teruja kerana Metallica yang disanjung semua peminat muzik heavy dan thrash metal seluruh dunia akhirnya datang ke Kuala Lumpur selepas lebih 30 tahun ditubuhkan.

Tidak percaya pula kerana bolehkah Metallica ‘lepas’ mengadakan konsert di sini? Sejarah membuktikan kebanyakan band antarabangsa bergenre muzik berat sukar mengadakan persembahan di sini berikutan kerenah birokrasi dan tentangan pihak tertentu.

Namun, seperti kita semua sedia maklum, konsert itu berlangsung dengan jayanya dan lebih 20,000 penonton yang hadir pulang dengan senyuman pada malam itu.

Tahun ini, band seangkatan dan ‘sekampung’ Metallica dari Los Angeles, Amerika Syarikat iaitu Megadeth sudah mengesahkan akan mengadakan konsert mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 4 Mei ini.

Megadeth yang diiktiraf sebagai ‘big four’ dalam muzik thrash metal bersama Metallica, Anthrax dan Slayer juga adalah band antarabangsa yang dinanti-nantikan peminat mereka di sini.

Sama seperti Metallica, peminat Megadeth juga terpaksa menanti selama lebih 30 tahun untuk menyaksikan aksi sulung mereka sini.

Megadeth yang kini dianggotai dua anggota asalnya iaitu Dave Mustaine (penyanyi, gitar) dan David Ellefson (bass) bersama Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbeuren (dram) sepatutnya mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada Julai 2001, namun ia dibatalkan.

Konsert itu dibatalkan kononnya Megadeth boleh menjadi anasir ‘jahat’ kepada generasi muda tanah air ketika itu!

Katalah apa saja, apa yang pasti band yang sudah tiga dekad dalam industri muzik ini sudah menjual lebih 50 juta unit album di seluruh dunia.

Mereka juga memenangi trofi Grammy pertama menerusi Persembahan Metal Terbaik pada Anugerah Grammy ke-59, baru-baru ini, selepas 12 kali dicalonkan.

Konsert anjuran IME Malaysia ini dijadualkan bermula jam 8 malam. Tarikh konsert mereka di negara ini diumumkan selepas Megadeth terlebih dulu mengesahkan kemunculan di Manila, Filipina, pada 29 April dan di Singapura, 2 Mei.

Pada 7 Mei pula, siri jelajah mereka di Asia diteruskan di Jakarta, Indonesia.

Tiket menyaksikan Megadeth Live in Malaysia dijual mulai hari ini pada harga RM428, RM388, RM358, RM288 dan RM198.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari www.ticketcharge.com.my.

Vic Rattlehead ‘anggota’kelima Megadeth

Selain empat anggotanya, Megadeth turut dikenali dengan maskot yang dinamakan Vic Rattlehead.

Vic yang dijelmakan sebagai figura tengkorak adalah gambaran kepada frasa ‘see no evil, hear no evil, speak no evil. Matanya dipakukan dengan ‘kaca mata’ besi, mulutnya ‘dijahit’, manakala telinganya ditutup dengan penutup telinga besi.

Wajah asal Vic dilukis oleh Mustaine untuk kulit album pertama mereka berjudul Killing Is My Business...and Business Is Good! pada 1985.

Bagaimanapun, syarikat rakaman Combat Records menghilangkan lukisan itu dan tampil dengan konsep yang berbeza untuk album berkenaan.

Akhirnya lukisan asalnya dijumpai semula dan ia dimuatkan dalam versi ‘reiisue’ album berkenaan.

Nama Vic berasal daripada perkataan ‘victim’ atau mangsa, manakala Rattlehead tercipta apabila ibu Mustaine memarahinya selepas dia melakukan ‘headbanging’ sambil mendengar lagu thrash metal.

“Don’t do that or you’ll rattle something up in there!” kata ibunya.

Menurut Mustaine, maskot itu juga adalah gambaran perasaannya terhadap penindasan agama dan kebebasan dalam berekspresi.

Selain itu, Vic juga dikatakan antara faktor konsert Megadeth dibatalkan di Kuala Lumpur 16 tahun lalu kerana tidak bersesuaian dengan rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:02 AM