HAFIZUL Kamal pada Majlis Pelancaran Filem Paskal di Hotel Renaissance. FOTO Luqman Hakim Zubir
HAFIZUL Kamal pada Majlis Pelancaran Filem Paskal di Hotel Renaissance. FOTO Luqman Hakim Zubir
Najiy Jefri


“LAPAN tahun saya tunggu hadiah kemenangan yang dijanjikan tapi tak dapat-dapat lagi,” kata pelakon dan pengacara Hafizul Kamal mengenai nasibnya apabila satu daripada hadiah kemenangan ketika menjuarai program On Air terbitan Astro masih menjadi tanda tanya.

Hafizul yang juga pelakon filem Paskal ketika dihubungi berkata, dia mengakui sudah putus harapan apabila hadiah yang dijanjikan iaitu peluang mengacara sebuah program tidak ditunaikan.

“Sudah lama bersabar dan hampir putus asa menunggu hadiah kemenangan itu. Sebelum ini setiap kali saya pergi uji bakat, pasti nama akan ditolak kerana dikatakan tidak mempunyai ramai pengikut di media sosial berbanding selebriti lain yang datang.

“Selama ini saya diamkan saja kerana menganggap nama masih belum dikenali. Mereka sering memberi alasan nama tidak cukup kuat tapi sekarang sudah lapan tahun saya menapak dalam industri hiburan dan sudah beralih kerjaya, ia tetap sama,” katanya.

LUAHAN yang dimuatnaik Hafizul menerusi InstaStory miliknya. FOTO Instagram
LUAHAN yang dimuatnaik Hafizul menerusi InstaStory miliknya. FOTO Instagram

Selain filem Paskal, Hafizul turut membintangi beberapa drama bersiri antaranya Miranda, Mencintaimu, Mr Boss Miss Stalker, Sayangku Kapten Mukhriz, Cinta FB dan Papa Ricky.

Hafizul berkata, dia tidak faham kenapa dia yang dilahirkan daripada sebuah program realiti pencarian bakat tidak mendapat tempat.

“Tak tahu apa lagi yang kurang kerana saya lihat ada pengacara baru yang mereka ambil untuk mengendalikan program, tiada asas pun tapi mendapat peluang itu.

“Saya tak tahu nak mengadu dengan siapa lagi membuatkan saya terpaksa bersuara di media sosial. Saya tak mengharap apa-apa cukuplah sekadar lihat apa yang telah mereka lakukan terhadap saya,” katanya.

Terdahulu, Hafizul memuat naik kenyataan di Instagram Story apabila percubaan demi percubaan menghadiri uji bakat sebagai pengacara tidak berjaya apabila dikatakan tidak mempunyai pengikut ramai sedangkan dia lahir daripada program pencarian bakat.

Dia juga kecewa apabila sebuah program realiti terbaru yang mula ditayangkan semalam menampilkan pengacara baru yang langsung tidak mempunyai pengalaman dan isu jumlah pengikut tidak pula dibangkitkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 5:08 PM