Hafizul bersama anak sulung, Raisya Amanda disahkan positif Covid-19. Foto Instagram
Hafizul bersama anak sulung, Raisya Amanda disahkan positif Covid-19. Foto Instagram
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur:  Pelakon filem Paskal, Hafizul Kamal yang kini positif Covid-19 memaklumkan anak sulungnya, Raisya Amanda turut dijangkiti virus itu.

Hafizul atau nama sebenarnya, Hafizul Ahmad Kamal, 36, berkata dia yang mula hilang deria bau sejak empat hari lalu tidak menyangka dirinya dijangkiti wabak itu.

"Deria bau saya mula tiada sejak empat hari lalu, namun tak sangka pula saya dijangkiti Covid-19 kerana ingatkan terkena selesema biasa saja. Malah, hidung saya juga tidak berair.

"Saya dan anak disahkan positif Covid-19 pada hari Ahad lalu, namun isteri dan anak kedua pula negatif selepas menjalani ujian saringan. Oleh itu, mereka hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Dalam masa sama, saya turut memantau paras oksigen anak-anak kerana mereka masih kecil.  Bila periksa kadar oksigen Raisya, turun ke 94 dan memang sudah bersedia barang-barang nak pergi hospital.

"Buat masa ini, saya dan Raisya hanya menjalani tempoh kuarantin di bilik," katanya.

Menurut Hafizul, punca jangkitan belum dapat dikenal pasti namun, rasa kurang sihat datang selepas dia menjaga ibunya yang demam.

Terdahulu, Hafizul mengesahkan dia dan anak perempuannya itu dijangkiti virus Covid-19 menerusi hantaran yang dibuatnya di Instagram, semalam. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 1:24 PM