AINA Abdul.
AINA Abdul.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Tiket persembahan A Night With Aina Abdul yang bakal berlangsung di sebuah lokasi di ibu kota pada 16 dan 17 Disember nanti habis dijual dalam tempoh 48 jam sejak mula dibuka kelmarin.

Aina ketika dihubungi berkata, dia terkejut dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diterimanya itu. "Saya sangat teruja sebab ini bakal menjadi 'showcase' pertama saya sepanjang berkecimpung dalam bidang muzik.

"Sebelum ini saya memang ada buat persembahan tapi berskala kecil. Pernah acara yang dianjurkan tidak ramai penonton yang datang dan menyanyi di hadapan satu meja tetamu.  

"Tapi kali ini saya tak sangka tiket terjual dengan begitu pantas. Ini adalah impian saya sejak dulu lagi. Saya difahamkan rata-rata yang membeli bukan hanya dalam kalangan kelab peminat saja, tetapi ada juga pencipta muzik yang meminati lagu-lagu yang saya bawakan serta rakan-rakan selebriti," katanya.

Menurut Aina, walaupun pada permulaannya banyak perkara yang difikirkan termasuk mampukah tiket terjual sebelum tarikh persembahan itu, Aina bagaimanapun bersyukur apabila segala urusan dipermudahkan.

"Saya memang sudah lama merancang untuk mengadakan 'showcase' dan mahu diadakan secara dalam talian susulan penularan Covid-19, tapi sebaik kerajaan umumkan konsert dibenarkan saya terus berbincang dengan pasukan saya.

"Alhamdulillah bulan lalu kami berjaya mendapat lokasi terbaik dan terus membuat tempahan. Saya juga enggan fikir panjang sebab bimbang apa yang dirancangkan tak jadi nanti. Kalau dulu ada saja halangan seperti kekangan masa dan kewangan tapi kali ini Alhamdulillah semuanya bergerak sangat cepat.

"Saya harap ia dapat diadakan seperti yang dirancang dan dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 10:57 AM