USOP
USOP
Oleh Ramlah Zainal


BAKATNYA mula digilap menerusi program Mentor Milenia pada 2017. Selepas memenangi tempat kedua program realiti terbitan TV3 itu, nama Usop Mentor seakan-akan tenggelam.

Menurut pemilik nama sebenar, Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 22, ini, dia mengakui perkara itu dan dalam tempoh satu setengah tahun selepas program itu berakhir, namanya memang kurang dikenali.

“Sebelum ini, karier nyanyian diuruskan ayah untuk undangan persembahan dan sebagainya. Bukan mudah bergerak sendiri kerana saya juga masih tercari-cari syarikat pengurusan untuk bernaung ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, kata anak kelahiran Kulim, Kedah ini, dia kini mampu menarik nafas lega selepas bernaung bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah, karier seni lebih teratur sejak bernaung bawah pengurusan terbabit. Selepas single pertama Aku Yang Bersalah, single kedua Selamanya juga mendapat sambutan baik daripada peminat,”katanya.

Mengenai penampilannya pada konsert minggu pertama Mentor Milenia 2019, kata Usop, dia bangga kerana diberi peluang beraksi di pentas terbabit.

“Program Mentor Milenia adalah ‘sekolah’ tempat saya mendalami ilmu nyanyian. Saya sangat bangga diberi peluang membuat persembahan pada malam konsert minggu pertama ini.

“Single kedua saya, Selamanya menjadi pilihan protege Mentor Milenia 2019, Apex Tajuddin pada persembahan konsert minggu pertama Ahad lalu sekali gus mempromosikan lagu ini kepada peminat.

“Saya juga menaruh harapan lagu ini akan berjaya melangkah ke pentas Anugerah Juara lagu nanti,” katanya.

Sebelum menyertai Mentor Milenia 2017 lagi, Usop menyedari kekurangan pada dirinya berbanding penyanyi lain.

Menurut Usop, dia tidak pernah berkecil hati dengan cakap-cakap orang yang memperlekehkan paras rupa dan penampilannya.

“Saya menyertai bidang nyanyian bersandarkan bakat dan bukan paras rupa seperti penyanyi lain.

“Bukan mudah untuk bertahan kerana persaingan cukup sengit daripada ramai bakat baharu yang bagaikan cendawan tumbuh ketika ini.

“Saya tidak pernah mengalah kerana yang penting kerja keras untuk memperbaiki prestasi vokal dan persembahan sedia ada dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas perancangan single ketiga pula, kata Usop, ia masih dalam proses mencari material.

“Antara komposer yang saya mahu bekerja untuk single ketiga ialah Harry Khalifah dan Hang Nadim.

“Selepas single demi single, baru saya merancang muncul dengan bingkisan album penuh pula,”Katanya.

Terdahulu, single pertama Usop, Aku Yang Bersalah ciptaan Haqiem Rusli dan Fareez Fauzi berjaya mencecah 12 juta tontonan di YouTube.

Single kedua Selamanya pula ciptaan Ziin dan Bulan Penuh sudah mencecah lima juta tontonan di YouTube dalam tempoh tiga bulan.

Oleh Ramlah Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:00 AM