GANDINGAN Tomok dan Along (kiri) di pentas.
GANDINGAN Tomok dan Along (kiri) di pentas.
GAYA mantap Syeera dan Black.
GAYA mantap Syeera dan Black.
PERSEMBAHAN Angelica curi perhatian.
PERSEMBAHAN Angelica curi perhatian.
USOP tidak meletak harapan tinggi.
USOP tidak meletak harapan tinggi.
Oleh Najiy Jefri


Saingan separuh akhir Mentor Milenia 2017 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam kelmarin, menyaksikan empat protege iaitu Usop, Along, Angelica dan Syeera layak ke pentas akhir program berkenaan, Ahad ini.

Dalam saingan separuh akhir itu, Balqis yang juga protege kepada Hazama terpaksa akur apabila diumumkan tersingkir selepas dua minggu tiada penyingkiran.

Selain berjaya mara ke pentas final, Usop yang juga protege kepada Hazama turut diumumkan sebagai juara mingguan dalam saingan separuh akhir.

Syeera ialah protege kepada Black, Angelica (Akim), manakala Along protege kepada Tomok.

Pastinya, kejayaan sudah berada dalam genggaman apabila diumumkan layak meneruskan perjuangan ke pentas akhir, bahkan hadiah lumayan yang ditawarkan iaitu wang tunai RM100,000 untuk juara, manakala RM50,000 (tempat kedua) dan RM20,000 (ketiga) hanya dilihat sebagai bonus yang sedia terhidang untuk mereka memilih.

Bagi mereka, perjuangan memberikan yang terbaik adalah puncak segala kepuasan selepas beberapa minggu berentap.

Mengimbau perjalanan 11 konsert terdahulu, umum melihat pemuda dari Kedah, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor memiliki kelebihan untuk muncul juara.

Mana tidaknya, hampir setiap minggu jejaka berusia 20 tahun itu menerima pujian daripada juri serta penonton selain memiliki vokal menarik serta gelagatnya yang selamba dan kelakar.

Bagi Usop, biarpun ramai meletakkan harapan tinggi untuknya muncul juara, tetapi Usop mengakui dia perlu berusaha keras selain mengambil setiap pujian itu sebagai satu semangat untuk terus memberikan yang terbaik dari segala aspek, terutama pada detik kemuncak.

“Saya tidak meletak harapan tinggi untuk muncul juara kerana rakan protege yang lain semuanya berbakat besar. Apa yang boleh saya katakan, saya mungkin sudah juara di hati peminat yang tidak berhenti menyokong perjalanan saya dalam program ini.

“Jujur saya akui bimbang dan tertekan dengan harapan yang ditaruh, tetapi saya ambil itu sebagai satu semangat untuk terus berjuang memberikan persembahan yang terbaik pada malam final nanti.

“Lebih utama, saya mahu kejayaan beraksi di pentas final menjadi titik penting untuk saya terus mengorak langkah sebagai penyanyi.

“Ketika ini, saya memberikan tumpuan kepada segala aspek baik vokal, kreativiti persembahan dan mencari keselesaan dalam penggunaan pentas kerana ia antara strategi terbaik untuk meredakan debaran serta tekanan,” katanya.

Hazama nafi sama

Sengaja menebak soalan kepada Hazama mengenai komen juri yang masih mengkritik cara nyanyian protegenya yang seakan sama, Hazama tampil menafikan.

“Kali pertama masuk dalam industri, ramai yang mengatakan suara saya mirip penyanyi yang sedia ada. Begitu juga apa yang dialami Usop sekarang. Bagi saya, dia sedang menyanyikan lagu orang dan masih baru dalam bidang ini tanpa sebarang pengalaman.

“Lagipun, saya adalah antara guru yang banyak mengajarnya jadi sedikit sebanyak dia mungkin terikut. Tetapi selepas mendengar setiap persembahannya tiada persamaan antara kami.

“Saya percaya sebaik dia keluar daripada Mentor dan mempunyai single sendiri, dia pasti mempunyai cara nyanyian yang akan diingati,” katanya.

Bagi protege Akim, Angelica pula menganggap kejayaan membolosi peringkat akhir sedikit sebanyak memberi tekanan kepada dirinya untuk mengharumkan seluruh penduduk daerah Tambunan, Sabah.

“Sebelum menyertai program ini, saya memang aktif menyanyi pada majlis korporat dan kenduri orang kahwin. Malah sebelum ini saya pernah menyertai program Idola Kecil musim ketiga. Sejak itu saya memang bercita-cita hendak menjadi penyanyi profesional.

“Apabila terpilih sebagai protege Akim, maklum balas orang kampung sangat bagus. Mereka beri sokongan padu kepada saya kerana inilah peluang mereka nak melihat bakat saya di pentas yang lebih besar.

“Pembabitan dalam program ini juga sekali gus mengharumkan nama daerah Tambunan. Disebabkan itu saya perlu tampilkan persembahan hebat pada konsert final ini. Saya tak mahu mengecewakan harapan mereka yang ingin melihat saya berjaya,” katanya.

Cabaran barangkali lebih dirasai Syeera apabila menjadi satu-satunya orang harapan Black yang ingin melihatnya menempa kejayaan pada peringkat kemuncak nanti.

“Sesiapapun akan berasa tekanan apabila berada di tempat saya. Semua pihak meletakkan harapan tinggi terhadap saya, apatah lagi saya protege tunggal mewakili Hazama. Saya mahu lupakan soal tekanan kerana selagi memikirkannya, selagi itu kita akan rasa terbeban.

“Fokus saya adalah melakukan persiapan secara intensif baik dari aspek vokal, persembahan, stamina mahupun kesihatan. Selain menumpukan kepada vokal, saya juga melakukan banyak latihan untuk mengumpul tenaga yang akan dikeluarkan habis-habisan pada malam nanti.

“Walaupun Angelica,Usop dan Along bakal memberikan saingan terkuat, saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Saya banyak membuat kajian dengan menonton persembahan penyanyi terbaik dunia sebagai rujukan untuk memperkemaskan lagi persembahan,” katanya.

Pertandingan akhir Mentor Milenia 2017 akan disiarkan secara langsung di TV3 bermula jam 9 malam Ahad ini. Pemarkahan pada peringkat akhir ditentukan menerusi 50 peratus juri profesional, 20 peratus juri awam manakala undian peminat menerusi laman sesawang mewakili 30 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:29 PM