HAZAMA percaya Balqis dan Usop mempunyai potensi besar dalam industri seni.
HAZAMA percaya Balqis dan Usop mempunyai potensi besar dalam industri seni.
AKIM memilih Anna (kiri) dan Elica sebagai protege musim ini.
AKIM memilih Anna (kiri) dan Elica sebagai protege musim ini.
EMPAT protege pilihan Hazama dan Akim.
EMPAT protege pilihan Hazama dan Akim.
Najiy Jefri

Teka-teki siapakah protoge Hazama dan Akim akhirnya terjawab pada konsert pengenalan Mentor Milenia 2017 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam kelmarin.

Pada konsert yang berlangsung kira-kira jam 9 malam itu, Akim memilih Noor Jannah Abu Hanipah atau Anna, 18, dan Angelica Paujin (Elica), 17, sebagai anak didiknya.

Muhammad Saiful Naim Muhd Noor (Usop), 20, dan Nor Balqis Ahmad Tajudin (Balqis), 18, pula menjadi pilihan Hazama.

Bagaimanapun, dengan berat hati Akim terpaksa melepaskan Mohd Farhan Mohd Mustapha (Farhan), 20, sementara Hazama pula mengambil masa lama untuk berfikir sebelum menyingkirkan Iffah Syahira Ariffen Kamal Ariffen (Serra), 21.

Tidak dinafikan dua penyanyi terkenal itu berdepan detik sukar dalam membuat keputusan berikutan peserta musim ini mempamerkan persembahan mengujakan selain memiliki vokal yang mantap.

Bercakap mengenai pemilihan protege, Hazama berkata, pada mulanya Usop bukan pilihan utamanya, namun akur selepas menyaksikan persembahan bertenaga anak muda itu selain permintaan tinggi daripada penonton.

“Secara peribadi Usop bukan pilihan pertama saya. Namun entah mengapa, saya dapat rasakan aura yang ada pada dirinya apabila namanya menjadi sebutan ramai sejak episod uji bakat disiarkan.

“Lagipun pemilihan Usop dibuat selepas mengambil kira permintaan dan pilihan orang ramai yang menyukai muzik 90-an. Tambahan pula, penonton mahu melihat rancangan yang mereka gemari dan saya percaya Usop mampu melakar kejayaan tersendiri.

“Biarpun tidak sampai hati melepaskan Serra, saya yakin dia boleh pergi jauh dengan bakat yang ada, malah tak perlu menyertai mana-mana rancangan realiti.

“Ini kerana format rancangan realiti TV kadang-kadang boleh menenggelamkan bakat yang dia ada. Jadi saya keluarkan dia dan akan bantunya untuk mengejar cita-cita bergelar penyanyi,” katanya yang mengakui Balqis lebih relevan untuk diasah bakatnya menerusi program realiti itu.

Melihat pemilihan protege Akim musim ini yang jauh lebih berkualiti berbanding musim terdahulu, pelantun popular lagu Obses itu memaklumkan, markah antara peserta yang disingkirkan tidak jauh beza.

“Saya akui terkejut dengan persembahan Farhan malam ini kerana tidak menyengat seperti ketika raptai dan kerana itu memilih dua peserta wanita yang lebih mencuri perhatian saya.

“Sebenarnya fokus pencarian saya adalah wanita kerana kita kekurangan penyanyi wanita yang berbakat. Saya mahu kongsi ilmu dengan melahirkan bakat baru,” katanya.

Meskipun perjalanan Serra dan Farhan terhenti di pentas Mentor Milenia 2017, mereka bertuah apabila terpilih bernaung di bawah syarikat pengurusan Paradox milik Akim dan Hazama.

Mengulas graf persembahan luar biasa yang dipamerkan protege Akim dan Hazama, Penerbit Eksekutif Mentor Milenia, Muhammad Sufian Isa berkata, kualiti peserta kali ini lebih bagus berbanding peserta terdahulu.

“Sebenarnya tidak banyak pembaharuan yang ditampilkan melainkan setiap musim kami memperkenalkan protege baru. Namun apa yang membezakan adalah pilihan dan cara setiap mentor mendidik protege mereka setiap musim.

“Bagi saya, dengan pengalaman yang dimiliki, setiap mentor sudah pandai membuat keputusan mengikut kehendak penonton dan mengasah bakat serta meningkatkan kualiti persembahan anak didik mereka.

“Saya percaya ini turut memberi tekanan kepada produksi dan barisan mentor untuk mengekalkan momentum setiap protege hingga penghujung rancangan,” katanya.

Ahad ini pula giliran enam peserta bertarung dalam persembahan solo pengenalan untuk bergelar protoge Tomok dan Black.

Mereka perlu memilih dua peserta sebagai anak didik untuk bertanding dalam lima konsert mingguan.

Juara Mentor Milenia bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Penganjuran kali ini memaparkan kelainan apabila menggunakan khidmat juri profesional yang mengadili barisan peserta dalam program realiti TV itu nanti.

Selain meletakkan 50 peratus markah daripada juri tetap, Mentor Milenia 2017 masih mengambil kira 30 peratus undian penonton dan 20 peratus undian juri awam.

Program itu diacarakan pelawak Issey Titan dan penyanyi Marsha Milan Londoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 6:19 AM