DIANA memutuskan untuk tidak mengambil sebarang ubat bagi mengatasi penyakit sebaliknya mengubah gaya hidupnya menjadi lebih baik. FOTO Zunnur Al Shafiq
DIANA memutuskan untuk tidak mengambil sebarang ubat bagi mengatasi penyakit sebaliknya mengubah gaya hidupnya menjadi lebih baik. FOTO Zunnur Al Shafiq
Oleh Georgie Joseph


PELAKON, Datin Diana Danielle mendedahkan dirinya kini lebih tenang dan berjaya mengatasi gangguan keresahan yang menyerangnya beberapa bulan lalu disebabkan kepenatan melampau.

Diana, 28, berkata dia turut bersyukur suaminya Datuk Farid Kamil, 38, banyak membantu dengan kerap menasihatkannya untuk solat setiap kali dia mula merasa hampir terkena serangan itu kembali.

“Sekarang saya lebih sensitif dengan badan serta minda dan kalau mood terganggu, saya akan rehat disebabkan tahu tidak okey.

“Saya juga sudah pandai rasa sebelum ia menyerang kembali. Kalau dulu saya selalu paksa diri untuk terus kerja, tapi senang untuk atasinya sekarang.

“Farid suka nasihatkan saya untuk selalu dekati Tuhan, minta bantuan daripada Allah sebab Allah saja boleh bagi panduan. Suami kata kalau penat sangat suruh solat,” katanya.

Pelakon Gol & Gincu Vol 2 itu juga memutuskan untuk tidak mengambil sebarang ubat bagi mengatasi penyakit itu sebaliknya mengubah gaya hidupnya menjadi lebih baik.

“Gangguan keresahan itu dapat daripada diagnosis doktor tapi saya tidak mahu ambil ubat disebabkan sedar gaya hidup sudah bertukar sejak dua tiga bulan sebelum terkena.

“Doktor sarankan saya kembali ke gaya hidup sebelum kena iaitu makan banyak dan tidur ikut masa.

“Dalam masa tiga minggu dan datang pemeriksaan seterusnya, saya beritahu doktor keadaan jauh lebih baik dan disuruh kekalkan dengan gaya hidup itu,” katanya.

Ogos lalu, Diana berkongsi detik mencemaskan apabila diserang gangguan keresahan menerusi Instagram. Pelakon itu menjelaskan dia berpeluh, mengalami insomnia yang teruk, gelisah dan kehilangan selera makan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:31 PM