DIANA semakin bahagia selepas rujuk dengan Farid.
DIANA semakin bahagia selepas rujuk dengan Farid.
Georgie Joseph


BADAI yang melanda rumah tangga pelakon dan penyanyi, Diana Danielle serta suaminya Farid Kamil menjadi titik tolak paling bermakna buat pasangan itu. Keputusan rujuk dan teruskan bersama sangat tepat.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata banyak hal dia perlu beralah dan muhasabah diri. Proses menyelamatkan rumah tangga mereka itu kena ditelusuri hingga akar umbi.

Ternyata antara hal paling teratas adalah pasal anak-anak mereka. Diana akui dua anaknya Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8, menjadi kekuatan utama dia serta Farid kembali bertaut kasih.

"Kami ada bincang pasal kematian dan hayat yang tak cukup. Bila sembang mengenai itu, perspektif hidup kami jadi lebih jelas. Kami terfikir apa nak bisingkan padahal hidup mungkin tak lama lagi.

"Kenapa tidak kami hanya saling menghargai sesama-sendiri? Anak-anak pun tinggal beberapa tahun saja lagi untuk membesar. Tinggal beberapa tahun lagi untuk mereka menikmati keluarga kecil ini.

"Kenapa tidak kami berikan segala-galanya? Bila kami dapat perspektif lebih besar begitu, ia bukan sebab pasal kami saja, ia memang sangat membantu. Alhamdulillah sebab doa semua orang, keluarga, anak-anak, dan semangat Allah pinjamkan," katanya.

Diana akui kekhilafan terdahulunya adalah terhadkan ruang buat Farid memainkan peranan sebagai ketua keluarga. Dia belajar bahawa menjadi isteri tidak seharusnya kena dominan.

"Saya pun cuba untuk tak terlalu dominanlah sebagai seorang isteri. Mungkin dulu saya jenis terlalu bersifat begitu, mainkan peranan sendiri saja. Saya tak bagi ruang kepada Farid untuk jadi suami.

"Tapi sekarang saya bagi dia lebih ruang untuk buat keputusan. Saya akan turuti apa yang dia nak," katanya.

Menjadi contoh terbaik pasangan yang mampu bina semula rumah tangga hampir berkecai, Diana akui proses itu bukan mudah. Katanya asalkan mencuba, itu cukup membanggakan.

"Tak semua yang rujuk pun dapat kemanisan di akhir jalan itu. Tapi saya masih akan tepuk tangan dan berbangga kerana daripada putus asa, mereka cuba juga.

"Bagi saya itu perspektif yang lebih baik sebab kita mencuba dan mencuba. Insya Allah, kalau masih ada lagi ruang itu, kita teruskan. Sebab jodoh kan bukan di tangan kita," katanya.

Disebabkan itu jugalah, Diana menghargai setiap saat yang kini dinikmati bersama keluarganya. Baginya, manisnya hidup dia sekarang adalah kerana teladani bab kehidupan terdahulu.

"Kemanisan itu terasa di mana hubungan kami terjaga baik dan dapat saling menghargai sesama-sendiri. Masa bila pun tak kisah, asalkan kami menjadi pasangan yang baik kepada masing-masing. Apa juga yang berlaku sebelum ini membawa kepada apa kami ada sekarang," katanya.

Kebahagiaan maksima dikecapnya juga antara sebab Diana tidak pernah rasa dia layak mengeluh. Katanya, kerjaya artis juga tidaklah terbeban mana jika dibandingkan pekerjaan sektor berat lain.

Katanya, tanamlah niat cari rezeki dan memperbaiki kualiti kehidupan serta keluarga.

"Janganlah kita mengomel hal-hal kecil. Bila tak mengeluh dan terima kesusahan sementara mencari rezeki, alhamdulillah diberkati. Bila kita berlapang dada, kita akan seronok bekerja.

"Kalau jadi cikgu, doktor, pun sama cuma darjat kami tak tinggilah jika dibandingkan dengan doktor. Kerja mereka lagilah tak tentu masa. Jadi, apa yang perlu saya keluhkan?" katanya.

Menurut Diana, pekerjaannya sebagai selebriti sudah cukup mudah. Justeru, dia sentiasa mensyukuri rezeki berada dalam bidang seni.

"Saya ini cuma menghiburkan orang dan dapat sumber rezeki daripada itu. Harapnya saya bagi manfaat juga kepada masyarakat dengan apa yang saya kongsikan.

"Tapi saya tak pernah rasa kerja saya ini yang paling susah jika dibandingkan dengan pekerjaan lain. Kami pun dibayar lumayan kan dan dapat kehidupan yang baik," katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri tahun ini, Diana sekeluarga tidak pulang kampung dan secara rasmi beraya pertama kali di Kuala Lumpur (KL).

"Raya KL tahun ini. Sesuatu yang agak baharu untuk kami. Perancangannya akan ziarah rumah kawan-kawan dan keluarga Farid pun ada selain sepupu saya ramai juga di KL. Anak-anak okay saja," katanya.

Dalam pada itu, Diana juga sudah kembali menyambung pengajian mengejar diploma jurusan Pengurusan Perniagaan di Kolej INTI. Begitu juga pengajian keduanya untuk A-Level.

"Saya baru habis semester pertama tempoh hari. Masih lagi tengah sesuaikan diri sebab ramai dalam jurusan kami yang bekerja sambil belajar dan saling faham situasi masing-masing.

"A-Level kena hentikan sekejap sebab saya pun tengah jalani penggambaran tanpa henti. Saya tak boleh nak kejar pengajian dan tunggu selepas Aidilfitri, baru saya sambung.

"Untuk A-Level memang saya ada ambil khidmat seorang tutor peribadi. Jadi, dia boleh ikut masa saya. Perlahan-lahanlah, sebab ini pun untuk kepuasan diri sendiri saya. Asalkan habis pengajian, insya Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:00 AM