ANTARA artis yang pernah positif Covid-19.
ANTARA artis yang pernah positif Covid-19.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Angka kes jangkitan harian Covid-19 terus meningkat dengan menyaksikan pertambahan jumlah kematian.

Malah, sejak wabak pembunuh dalam diam ini dikesan dalam negara awal tahun lalu sehingga sekarang, mereka yang dijangkiti tidak mengenal latar belakang.

Tua, muda, dewasa, kanak-kanak dan bayi termasuk status dan pangkat, semuanya menjadi mangsa. Dan ada antara mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Sepanjang Covid-19 ini direkodkan dalam negara juga, lebih 20 artis tempatan sudah dijangkiti. Ia tidak termasuk mereka dalam kalangan penggiat seni belakang tabir dan kru penggambaran.

Antara yang pernah dijangkiti adalah PU Riz, Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Emma Maembong, Aprena Manrose, Sweet Qismina, Farisya Irwayu, Laila Nasir dan Tiz Zaqyah.

Selain itu, Nora Danish, Nabila Huda, Alif Iskandar, Aepul Drama Band, Shima Annuar, Puteri Rayyana Rayqa (pelakon kanak-kanak), Harris Annuar, Reen Rahim, Aeril Zafrel, Roy Gegar Vaganza, Syafiq Farhain dan Puteri Sarah.

Bagi Puteri Sarah, 36, yang disahkan positif Covid-19 pada 19 Mei lalu berkata, dia mahu mengubah mentaliti masyarakat yang mana wabak ini memang wujud dan boleh mendatangkan kematian.

"Saya dapat jangkitan ini daripada individu lain di lokasi penggambaran yang mana orang itu pun tidak tahu dia dapat dari mana. Ingin dijelaskan jangkitan ini bukan terus kena, tapi ia ambil masa untuk dikesan positif. Macam saya, masa dijangkiti antara 1 hingga 7 Mei dan ia ada dalam badan saya antara 6 hingga 12 Mei sebelum ada gejala pada 13 Mei.

"Selama ini habis saja penggambaran saya memang tidak ke mana-mana dan terus pulang ke rumah. Tapi diakui tak boleh nak elak orang sekeliling. Malah, saya pernah baca ada yang terkena ketika mengisi minyak di stesen minyak.

"Jadi, apa saya nak sampaikan adalah Covid-19 ini memang wujud. Berhenti untuk fikir yang ia adalah mainan Yahudi. Apabila sudah terkena, sampai hilang nikmat deria rasa dan bau. Memang kena hati-hati. Apatah lagi ketika ini sudah ada varian baru pula.

"Saya yang jenis berjaga-jaga pun, akhirnya kena juga. Apa yang penting sekarang kena banyak kebalkan diri dengan amalkan tips kesihatan yang disarankan oleh doktor jika tidak mempunyai masalah penyakit lain," katanya.

Pelakon Aeril Zafrel yang disahkan positif Covid-19 pada 21 Januari lalu berkata, apa yang penting ketika ini adalah terus patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) atau duduk di rumah.

"Bagi saya, senang saja iaitu duduk rumah dan SOP kena ikut. Macam pelakon atau selebriti, kalau tawaran kerja itu boleh ditangguh dulu, tangguhlah. Kalau rasa takut dijangkitilah dan kewangan masih stabil. Jika sebaliknya, pastikan kalau keluar bekerja jangan sesekali leka dan alpa dengan SOP. Kena sentiasa berhati-hati.

"Diakui golongan selebriti ini tidak ada gaji tetap. Mahu atau tidak memang kena keluar bekerja. Masih ramai tidak faham keadaan ini kerana golongan macam kami ini pun banyak komitmen lain juga. Disebabkan itu, kena juga keluar bekerja," katanya.

Dalam masa sama, Aeril berpesan kepada artis dan syarikat produksi untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam diri.

Sementara itu, penyanyi Alif Satar yang disahkan positif pada November tahun lalu berkata, apa yang berlaku ada hikmah selain mahu masyarakat berhenti memberi stigma negatif kepada golongan selebriti yang dijangkiti wabak ini.

"Hentikanlah stigma negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ini terutama jika ada golongan selebriti yang terkena.

"Tiada siapa yang minta untuk dijangkiti. Bagi yang beragama Islam, agama yang menitikberatkan sifat kasih dan sayang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah tetapi juga sesama manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:00 AM