AWANG BPR ketika menziarah Bob Lokman, baru-baru ini.
AWANG BPR ketika menziarah Bob Lokman, baru-baru ini.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Komposer, Awang BPR sedih melihat keadaan kesihatan penulis lirik, Bob Lokman ketika menziarahi sahabatnya itu di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. 

Awang yang juga pemain gitar BPR berkata, dia sedih melihat keadaan kesihatan Bob yang agak serius selain hanya berbaring dan perlu memakai topeng alat bantuan oksigen.

"Nak bercakap dengan saya pun agak susah kerana terpaksa tarik topeng oksigen di mukanya. Kadang-kadang nak bercakap dia buka juga topeng oksiden dan pakai gas kecil yang terselit di wayar dekat hidung tapi tak boleh terlalu lama.

"Dia akan panggil isterinya untuk pakaikan semula topeng oksigen. Itu yang buat saya rasa kasihan melihat keadaannya," katanya kepada Harian Metro. 

Bagaimanapun menurut Awang, keadaan penulis lirik lagu Isabella itu tidaklah terlalu lemah. Bob boleh duduk, bangun dan bercakap, cuma dalam nada perlahan. 

"Saya bersyukur dapat bercakap dengan dia. Bob adalah kawan lama saya dari era mula-mula nak tubuhkan BPR. Dia datang rumah kami waktu kami nak buat rakaman dan bagi idea untuk konsep BPR. 

"Kemudian dia juga banyak buat lirik untuk lagu saya antaranya Segalanya Ku Terima nyanyian Illusi yang dapat tempat kedua Anugerah Juara Lagu 1989," katanya. 

Awang berkata, kerjasama dengan Bob terkesan apabila Bob sakit kerana industri muzik masih memerlukan sentuhan liriknya.

"Dengan keadaannya sekarang, dia tak mampu nak buat lirik lagi. Sama-samalah kita doakan agar dia kembali pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 1:17 PM