ERRA tidak kisah jika ada yang memanggilnya hajjah ketika ini. FOTO Khairul Azhar Ahmad
ERRA tidak kisah jika ada yang memanggilnya hajjah ketika ini. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir


PENGALAMAN mengerjakan haji adalah paling indah dan menyentuh hati pelakon terkenal Erra Fazira.

Erra, 45, yang pulang ke tanah air pada 20 Ogos lalu berkata, pergi ke Makkah mengerjakan haji adalah impiannya dan apabila berada di sana ia sangat menyentuh hatinya.

“Saya hanya buat yang terbaik dan berharap ia diterima dan mendapat haji mabrur,” katanya.

Mengenai doa, Erra berkata, ia lebih banyak kepada berdoa kebaikan dunia dan akhirat.

“Nama pun doa, jadi kena rahsia. Tapi, secara keseluruhannya tentu saja untuk kebaikan di dunia akhirat. Tentu saja kita kejar dunia tapi akhirat adalah matlamat kita. Jadi saya nak seimbangkan,” katanya.

Erra berkata, dia juga tidak kisah jika ada yang memanggilnya hajjah ketika ini.

Menurut Erra, dia menerima nasihat daripada mutawwif supaya tidak menolak panggilan itu.

“Sejujurnya, pada awalnya tentu saya berasa kekok dan minta panggil biasa saja. Tapi, saya dinasihatkan oleh ustaz yang menjadi mutawwif di sana tidak menolak atau pesan pada orang jangan panggil hajjah. Itu sesuatu yang tak baik.

“Jadi, saya dengar nasihat itu dan terima jika ada yang panggil hajjah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 12:25 PM