PEMINAT Uyaina dan Ridho buka akaun Instagram khas buat mereka. FOTO: Instagram Ridhouyainaarshad
PEMINAT Uyaina dan Ridho buka akaun Instagram khas buat mereka. FOTO: Instagram Ridhouyainaarshad
Najiy Jefri


PENGACARA Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Uyaina Arshad menafikan dakwaan dia menjalin hubungan istimewa dengan penyanyi Indonesia, Ridho Rhoma.

Uyaina ketika ditemui berkata, dia hanya menganggap anak kepada penyanyi dangdut ternama Rhoma Irama itu sebagai rakan seperjuangan dalam industri hiburan.

“Sejak saya dan Ridho ‘dikenen-kenen’ oleh pengacara dan juri dalam program Dangdut Academy Asia 4 (DAA4) yang bersiaran secara langsung tahun lalu, banyak pihak mula gosipkan kami mempunyai hubungan istimewa.

“Malah, sehingga kini peminat di Indonesia masih cuba mendekatkan saya dan Ridho untuk bersama apabila menerima banyak mesej peribadi yang menghantar gambar kolaj saya dan Ridho.

“Padahal saya dan Ridho cuma bertemu di panggung DAA4 sahaja. Tidak berhubungan sama sekali,” katanya.

Menurut Uyaina, walaupun ramai peminat cuba mendekatkan dirinya dengan penyanyi itu, Uyaina belum terfikir untuk menjalin hubungan cinta buat masa ini.

“Fokus saya sekarang adalah untuk membina nama di Malaysia dan Indonesia. Saya nak fokus dengan kerjaya sebagai pengacara dan pelakon dulu.

“Lagipun saya tak nak terburu-buru dalam hal percintaan. Biarlah saya menikmati kehidupan solo ini. Kalau ada jodoh, adalah nanti,” katanya.

Uyaina dikatakan sedang menjalin hubungan istimewa dengan Ridho apabila ramai peminat turut bersetuju mereka disatukan sebagai pasangan kekasih selepas digandingkan di atas pentas DAA4 dan rakaman terbabit yang disiarkan di YouTube sudah mencecah lebih empat juta tontonan.

Dalam pada itu, Uyaina memberitahu dia bakal ke Jakarta, Indonesia pada 29 Ogos ini untuk mengacarakan dua program realiti iaitu Golden Memories Asia dan DAA5 .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:05 PM