Norhayati Nordin


SELEPAS berjaya membina karier seninya di Indonesia, bakat pengacara dan pelakon cantik, Uyaina Arshad, 26, turut berkembang baik di negara ini.

Meskipun berhadapan masalah kesihatan, rezeki Uyaina tidak berkurangan hingga dia perlu membuat pilihan tepat.

Berbicara perkembangan kariernya, Uyaina atau nama sebenar, Shaidatul Naseha Uyaina Arshad berkata dia akan ke Indonesia pada penghujung bulan ini.

“Alhamdulillah, saya dapat peluang mengacara dua program hiburan bersama stesen Indosiar yang memerlukan empat bulan menetap di sana.

“Rakaman program pertama iaitu Golden Memories Asean akan bermula September ini, ikuti pula D’Academy Asia musim kelima (DAA5),” katanya.

Uyaina berkata, memandangkan tanggungjawab kerja yang sudah dipersetujui itu maka dia dia terpaksa menolak beberapa tawaran drama.

“Kalau ikutkan, ralat juga kerana dapat peluang berlakon untuk slot utama dan diberikan watak heroin.

“Bagaimanapun, saya perlu berpegang dengan janji dan positif. Mungkin sekarang bukan rezeki saya dan mana tahu akan dapat peluang lagi tahun depan.

“Dalam soal ini, saya anggap ujian daripada Allah SWT yang memerlukan saya membuat pilihan dan keputusannya, saya terima tawaran daripada Indosiar,” katanya.

Uyaina yang pernah mengacarakan Nona dan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 berkata, dia juga memasang impian baharu untuk mengembangkan karier seninya di Indonesia.

UYAINA ARSHAD
UYAINA ARSHAD

“Selain menjadi pengacara, saya juga pernah menimba pengalaman berlakon sinetron di sana. Saya kini mengimpikan berlakon filem pula.

“Terus terang, saya sentiasa bersedia untuk mengembangkan bakat dan karier seni di Indonesia jika berpeluang. Bagi saya, perlu berani mencuba.

“Malah, seiring kemajuan teknologi masa kini yang menjurus ke arah digital, saya juga dalam proses melancarkan saluran YouTube sendiri.

“Apatah lagi, melihat jumlah pengikut media sosial seperti Instagram (IG) yang bertambah menyebabkan saya terfikir perlu ada medium baharu,” katanya.

Uyaina berkata, dengan adanya saluran YouTube itu akan membantu dia mengembangkan bakat dalam cabang seni lain yang dilihat ada potensi.

“Melihat pengaruh teknologi ini, saya berasakan perlu menggunakannya sebaik mungkin dan satu kerugian jika tidak cuba memanfaatkannya.

“Lagipun, saya percaya dengan adanya saluran YouTube sendiri pelbagai kandungan siaran sesuai buat tatapan masyarakat boleh diketengahkan,” katanya.

Mengharapkan saluran YouTube itu dapat dilancarkan secepat mungkin, Uyaina menyasarkan perancangan itu menjadi kenyataan sekitar September ini.

Enggan menunggu lama, Uyaina berkata dia mendapati sudah ramai selebriti yang membina karier dalam industri hiburan memiliki saluran YouTube sendiri.

Masih Solo Dan Fokus Karier

Hampir lima tahun aktif dalam karier seni, Uyaina bebas daripada cerita sensasi dan gosip. Cuma, baru-baru ini dia dikait dengan penyampai radio Era, Radin.

Ia berpunca daripada beberapa foto bersama Raden dimuat juara Puteri Muslimah Asia 2018 ini ketika mereka menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, Uyaina berkata dia dan Radin sudah kenal lama dan mereka pernah bekerjasama mengacarakan program Kashoorga Talk tahun lalu.

“Apa yang boleh dikata, hubungan kami hanya sekadar kawan baik. Apatah lagi, sudah kenal lama dan pernah bekerja mengacara satu program bersama.

“Malah, kehadiran saya dan Radin di stadium ketika perlawanan akhir Piala FA itu pun kerana bekerja. Kami ada penggambaran program Radin Punya untuk saluran YouTube,” katanya.

Uyaina berkata, buat masa sekarang dia masih solo dan lebih selesa memberi fokus kepada perjalanan karier seni sebagai pengacara dan pelakon.

Katanya, jadual yang padat sehingga Disember ini memerlukan dia komited dengan tanggungjawab digalas. Bagaimanapun, kini Uyaina sibuk di set penggambaran drama Sara Sajeeda untuk TV3.

Melakonkan watak peguam bernama Iman Dahlia, gadis ramah itu berkata ia sangat mencabar meski dia memiliki ijazah jurusan undang-undang.

“Dapat berlakon watak peguam pun saya bersyukur kerana pernah mengikuti jurusan berkenaan ketika melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) dahulu.

“Saya seronok dengan watak berkenaan (Iman Dahlia), apatah lagi dapat bekerjasama dengan pelakon berpengalaman seperti Tiz Zaqyah dan Fahrin Ahmad,” katanya.

Sehubungan itu, Uyaina berkata jika tiada aral dia akan berangkat ke Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah selama dua minggu bersama keluarga pada pertengahan September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:05 AM