MUS rancang hasilkan empat atau lima single terbaru. FOTO Eizairi Shamsudin
MUS rancang hasilkan empat atau lima single terbaru. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BEKAS vokalis kumpulan May iaitu Mus dalam perancangan menghasilkan empat atau lima single terbaru selepas meninggalkan kumpulan itu secara rasmi pada 4 Julai lalu.

Pemilik nama sebenar, Mustaffa Din, 51, berkata, dia kini bergerak secara solo dan sedang menubuhkan kumpulan muzik yang akan mengiringi nyanyiannya.

"Dalam perancangan, saya mahu menghasilkan empat atau lima single yang akan dikeluarkan satu demi satu. Perancangan ini akan dipastikan menjadi dan bukannya sekadar angan-angan Mat Jenin," katanya ditemui pada konsert Rockestra Lagenda di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, rancangan itu akan dibuat dalam masa terdekat dan dia sedang meninjau sama ada perlu mengekalkan genre rock atau mencuba sesuatu yang baru.

"Yang pastinya akan ada kelainan lagu berbanding kumpulan May," katanya yang menyertai kumpulan itu pada 1986.

Mus menjelaskan, dia terpaksa meninggalkan kumpulan berkenaan atas faktor kesihatan dan ia diselesaikan secara baik.

"Sememangnya saya sedih kerana sudah 33 tahun mengenali mereka. Jika diikutkan, saya tidak seharusnya menyanyikan lagu May jika mengadakan persembahan.

"Tetapi ada beberapa lagu dibenarkan seperti lagu Sinar yang dihasilkan sendiri berserta beberapa lagu lain," katanya.

Berdasarkan rekod, Mus menyertai May pada 1986 dan keluar kumpulan itu pada 1991. Dia seterusnya menyertai kumpulan Stranger dengan menghasilkan sebuah album sebelum menyertai Wings pada 1996.

Enam tahun kemudian (2002), Mus kembali menyertai May dan secara rasmi meninggalkan kumpulan itu pada 4 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:24 PM