MUS nak pegang pada prinsip enggan lagi toleh ke belakang. FOTO Eizairi Shamsudin
MUS nak pegang pada prinsip enggan lagi toleh ke belakang. FOTO Eizairi Shamsudin
Ridzuan Abdul Rahman


BEKAS vokalis kumpulan May iaitu Mus mahu melupakan kisah lalu sekali gus membuka buku baharu sempena kedatangan 2020.

Mus atau Mustaffa Din, 52, berkata, dia tidak mahu lagi bercakap berkenaan kumpulan lamanya itu kerana tidak mahu menyakiti hati mana-mana pihak.

“Tak dinafikan sebelum ini memang sentiasa ada pihak tertentu yang sengaja sentuh perkara ini bagi menimbulkan provokasi dan saya pula pasti menjawab.

“Sekarang saya fikir biarlah apa orang nak kata pun kerana kalau bercakap bab kumpulan ini, sampai bila-bila pun takkan habis.

“Saya nak pegang pada prinsip enggan lagi toleh ke belakang. Pada saya, apa yang berlaku ada hikmahnya dan baiklah saya fokus teruskan perjuangan dalam seni walaupun tanpa kumpulan,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu penyanyi yang dikenali dengan lontaran vokal mantap itu membuat kejutan apabila mengumumkan sudah meninggalkan kumpulan May sejak Januari 2019 dalam satu majlis sidang media yang dihadirinya pada 4 Julai lalu.

Mus memberikan alasan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan membuatkannya tidak lagi mampu untuk beraksi menyanyikan lebih 10 lagu dalam mana-mana konsert bersama May.

Dia juga bertindak menukar namanya di laman sosial Facebook tanpa mahu dikaitkan lagi dengan May.

Ia bagaimanapun gagal meredakan perasaan tidak puas hati anggota May terutamanya Yuss (pemain bass) yang mengecamnya sebagai tidak profesional.

Tidak terkecuali, segelintir peminat setia May turut mengecamnya di laman sosial peribadinya.

Mus berkata, dia sebenarnya memilih untuk berdiam diri, namun terpaksa bersuara bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Tujuan saya hidup bukan untuk cari musuh. Tapi kadangkala apabila berlaku sesuatu perkara sehingga mengundang permusuhan, itu buat saya pening juga.

“Benda ini boleh diselesaikan dengan baik tapi sebaliknya ditambah lagi jadi semakin parah. Ia bertambah buruk dengan adanya teknologi atas talian.

“Ada peminat yang tak tahu apa-apa mengenai saya dan kehidupan diri ini. Apabila terbaca cerita begini, pasti akan terfikir lain,” katanya.

Sementara itu, Mus akan mengadakan persembahan Sunday Night Live yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 5 Januari ini.

Dalam persembahan bermula jam 10.30 malam itu, dia akan diiringi oleh Alfa Booty sebagai pemain gitar, Beby Majistret (gitar kedua), Fairus Majistret (bass), Loco Hyper Act (keyboard) dan Rumie Booty (dram).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 5:55 PM