AMAN RA mengilhamkan pengalaman hidup untuk berkongsi dengan masyarakat menerusi lirik. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AMAN RA mengilhamkan pengalaman hidup untuk berkongsi dengan masyarakat menerusi lirik. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


"PENGALAMAN hidup dilalui banyak mengajar saya erti bersyukur dengan kurniaan yang Allah SWT berikan selepas berusaha dan menempuh ujiannya.

"Kisah ini juga yang saya kongsikan kepada masyarakat dengan penulisan lirik lagu dinyanyikan," kata penyanyi rap semakin mencipta nama, Aman Ra.

Aman Ra, 32, mula dikenali dengan lagu Jatuh Bangun bersama Haqiem Rusly memberitahu hingga kini kisah lalu hidupnya itu masih segar di ingatan.

"Saya sudah berdikari sejak remaja. Malah, pada awal pembabitan dalam muzik banyak pengalaman pahit dilalui akibat ego diri sendiri. Saya pernah tidak makan empat hari kerana tiada duit.

"Lebih terdorong mengikut kata hati untuk bersuka ria ketika itu, saya juga gagal mengurus kewangan dengan baik," katanya.

Menurut Aman Ra atau nama sebenar Aman Jamaluddin, bukan mudah untuk dia berada pada tahap karier nyanyiannya sekarang.

"Saya hanya mampu sentiasa mengucap syukur kepada Allah SWT. Semoga apa yang saya lakukan dalam kerjaya seni ini diberkati.

"Terima kasih juga kepada semua pendengar yang menerima baik lagu saya dan menganggap ia karya positif dan bermotivasi.

"Kebanyakan lagu saya sebenarnya berkaitan kisah hidup sendiri. Saya mengilhamkannya untuk berkongsi dengan masyarakat," katanya.

Popular dengan lagu Cabang Tiga yang diangkat menjadi lagu tema filem Paskal, Aman Ra kini mempertaruhkan lagu baru berjudul Berada.

Lagu berkisar perjalanan kehidupan itu menggandingkan dia bersama dua lagi penyanyi popular, Noh Salleh dan Altimet.

Aman Ra yang sudah berumah tangga turut berkongsi kisah zaman kecilnya dibesarkan dalam keadaan ibu bapa berpisah.

Katanya, dia berdarah campuran Melayu di sebelah bapa manakala ibunya, wanita Punjabi yang memeluk Islam.

Dibesarkan oleh ibunya selepas perceraian, Aman Ra berkata, dia juga kagum dengan kecekalan dan ketabahan seorang wanita.

"Apapun, kejayaan yang saya peroleh dalam karier seni kini tidak dapat dikongsi bersama ibu kerana dia meninggal dunia pada 2013," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 4:26 PM