PELAKON, Mona Allen. FOTO Aziah Azmee.
PELAKON, Mona Allen. FOTO Aziah Azmee.
Ardini Sophia Sina


PELAKON Mona Allen berterima kasih kepada aktor Nazim Othman kerana menyelamatkannya yang hampir lemas ketika menjayakan satu adegan drama Lara Syakila.

Kata Mona, ketika kejadian itu berlaku mereka kebetulan sedang melakonkan babak lemas. Kakinya mengalami kekejangan tetapi tetap meneruskan dialognya.

“Memang itu adalah babak saya lemas dan Nazim akan selamatkan saya. Dalam keadaan tenggelam timbul, kaki saya mulai kejang. Saya terfikir apa yang patut dilakukan tetapi saya positif kerana ada ramai kru di sekeliling dan teruskan dengan dialog.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kerana Nazim terjun dan selamatkan saya. Kalau dia tak terjun mungkin akan ada perkara buruk yang akan terjadi,” katanya yang sedang menjalani penggambaran di Pulau Langkawi.

Trauma dengan kejadian itu, buat sementara waktu Mona tidak mahu mengambil tawaran yang ada babak membabitkan air dan perlu menjayakan adegan lemas.

Sementara itu, netizen yang menonton rakaman babak berkenaan yang dikongsikan Nazim di akaun Instagram miliknya seolah-olah tidak percaya Mona berdepan dengan detik cemas.

“Bayangkan, kita dalam air tenggelam timbul. Air pula masin. Saya betulkan rambut dan lap air di muka kerana saya mahu melihat dengan jelas persekitaran. Itu adalah perkara spontan dan bukan dibuat-buat.

“Apa pun, kalau ada babak lagi membabitkan air, saya tidak akan lakukan buat masa ini sebab apa saja boleh terjadi. Walaupun sekadar lakonan namun tetap berisiko,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 2:43 PM