JOHAN (kanan) minta orang ramai halusi kenyataan A Aida (kiri) dari konteks yang betul dan munasabah. FOTO Arkib NSTP
JOHAN (kanan) minta orang ramai halusi kenyataan A Aida (kiri) dari konteks yang betul dan munasabah. FOTO Arkib NSTP
Sudiman Mohd Tahir


KETUA Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak menyifatkan orang ramai sudah menyalah anggap kenyataan penerbit drama, Datuk A Aida pelakon mesti berwajah cantik serta kacak jika mahu membawa watak hero dan heroin dalam drama.

Johan berkata, sepatutnya kenyataan penerbit drama Andainya Takdir itu diambil dari konteks yang betul dan munasabah.

“Semua ini salah tafsiran oleh ramai pihak sebagai konklusi menyeluruh. Hakikatnya tidak sama sekali. Ia perlu diambil dari konteks yang betul dan munasabah.

“Apabila kita mencari pelakon utama untuk kisah percintaan contohnya, memang tidak dinafikan bahawa paras rupa mempunyai kesan bonus yang signifikan. Ini yang penonton mahu.

“Tetapi, ada banyak lagi watak lain yang memerlukan aura, keterampilan, karisma dan juga keupayaan berlakon secara semula jadi dan tidak semestinya bergantung kepada paras rupa. Malah, pelakon drama lelaki contohnya, tidak perlu semuanya sado,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Johan tegas menyatakan stesen televisyen tidak menolak sesiapa pun untuk hadir ke sesi uji bakat.

“Kita alu-alukan sesiapa saja. Untuk peserta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), perlulah ingat bahawa uji bakat ini bukan untuk watak cerita percintaan saja. Mereka perlu versatil melakonkan watak untuk apa saja jalan cerita sekali pun.

“Pemerhatian saya sepanjang sesi uji bakat DFKL adalah terlampau ramai yang melakonkan adegan menjerit, watak tidak siuman atau kemarahan. Pihak juri mahu lebih dari itu.

“Bermaksud, kebolehan yang fleksibel dari kemarahan ke kesedihan ke kegembiraan dan lain-lain lagi. Oleh itu, kita seharusnya terus berusaha mencari pelapis baru untuk industri kreatif dan elakkan sikap negatif, sejajar dengan tema DFKL2019, iaitu #positifselalu,” katanya.

Ditanya adakah stesen televisyen memainkan peranan penting dalam isu itu, Johan mengakui perkara itu.

“Pihak stesen sememangnya memainkan peranan penting kerana apa saja program televisyen yang diusahakan bersama pihak syarikat produksi merangkumi aspek pelakon.

“Pihak televisyen juga memberi input bagi pemilihan pelakon untuk sesuatu program. Dalam pemilihan ini, kami berpandukan aura, keterampilan, karisma dan kebolehan lakonan serta bergantung kepada watak, jika perlu, mengambil kira paras rupa,” katanya.

Berita berkaitan

Jangan buang masa kalau tiada rupa!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:31 PM