RAJA Afir selfie bersama peminat dan pelakon yang terbabit.
RAJA Afir selfie bersama peminat dan pelakon yang terbabit.
ANTARA aksi peserta uji bakat.
ANTARA aksi peserta uji bakat.
NINA Baharun (tengah) bersama peminat.
NINA Baharun (tengah) bersama peminat.
BARISAN pelakon dan penerbit yang terbabit dalam DFKL 2016.
BARISAN pelakon dan penerbit yang terbabit dalam DFKL 2016.
Oleh Mary Victoria Dass


Mempamerkan bakat lakonan secara spontan di hadapan artis yang bukan calang-calang dalam industri seni tanah air saban tahun bukan perkara mudah.

Namun, ia menjadi cabaran lebih 100 anak Johor dan Singapura yang menyertai sesi uji bakat diadakan di Angsana Mall, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sesi uji bakat yang diadakan mulai jam 2 petang hingga 7 malam itu menampilkan barisan panel iaitu produser dan pelakon terkenal Sheila Rusly, pengarah Ahmad Idham dan Heykal Hanifah.

Selain golongan remaja ia juga menerima penyertaan kanak-kanak berusia tujuh tahun sehingga golongan dewasa mencecah 40-an.

Ia sebahagian aktiviti pada siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016.

Rata-rata orang ramai yang hadir juga tidak mahu melepaskan peluang keemasan muncul dalam drama terbitan TV3 dan TV9 dan berkumpul untuk membuat pendaftaran seawal jam 9 pagi.

Menerusi sesi uji bakat, ada yang mempamerkan kebolehan lakonan, nyanyian selain menarik perhatian panel dengan menjiwai watak dibawakan.

Antara watak dilakonkan termasuk sebagai penculik, perempuan simpanan, ibu yang sakit dan hero.

Lebih menarik, ada antara peserta yang digandingkan dengan artis popular ketika sesi uji bakat.

Antaranya penampilan barisan pelakon seperti Adi Putra, Janna Nick, Johan As’ari, Nina Baharun, Raja Afir, Nadzmi Adhwa, Fadlan Hazim, Mia Ahmad dan Syazwan Zulkifli.

Seorang peserta, Zainureena Zainuddin, 21, berkata, dia berdebar ketika menonjolkan bakat lakonan di hadapan barisan panel yang juga nama besar dalam dunia hiburan.

Menurut peserta dari Johor Bahru ini, ia pengalaman yang berharga buatnya.

“Pandangan panel membabitkan aspek lakonan amat penting untuk saya memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Meskipun ada antara peserta yang mempunyai pengalaman di pentas teater, tetapi ia berbeza dengan berlakon di hadapan kamera.

“Lebih mencabar, saya dan rakan bercadang mengikuti bengkel diadakan nanti untuk memantapkan bakat sedia ada pada masa depan,” katanya.

Bagi perserta dari Kulai pula, Wan Noor Aini Ripin, 30, dia juga memasang impian untuk menjadi pelakon sejak kecil.

“Saya bertuah kerana mendapat peluang berlakon di hadapan barisan panel berkenaan.

Saya melakonkan watak isteri pada sesi uji bakat berkenaan.

“Saya semakin bersemangat apabila ratusan pengunjung di pusat beli-belah yang hadir turut terhibur dengan lakonan bersama artis dan seorang lagi peserta yang mengambil bahagian,” katanya.

Kata Wan Noor Aini lagi, mungkin bakat lakonannya tidak setanding dengan barisan artis yang hadir tetapi ia suatu kepuasan kerana dapat digandingkan dengan mereka dalam tempoh tidak sampai 10 minit.

“Ia menjadi pengalaman berharga dan saya akan memantapkan lagi prestasi sedia ada pada sesi uji bakat lakonan pada masa depan,” katanya.

Sesi uji bakat turut diadakan di Village Mall, Sungai Petani, Kedah pada 6 Februari ini. Sebelum ini, antara peserta yang dicungkil bakat menerusi uji bakat DFKL adalah Raja Afiq dan dia bakal beraksi watak hero dalam slot Akasia Sayangku, Kapten Mukriz yang bakal bersiaran di kaca TV.

Tema Dunia Drama Sebenar

DFKL yang bertemakan Dunia Drama Sebenar juga dianjurkan stesen TV3 dan TV9. Ia juga mengekalkan penganjuran pertandingan drama pendek, ‘pitching’, uji bakat lakonan dan bengkel.

Objektifnya adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk mengasah bakat dan menimba ilmu berkaitan dunia lakonan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9 Sherina Nordin berkata, DFKL juga sudah dianjurkan buat kali ketiga.

“Mengenai pertandingan drama pendek pula, ia boleh dihantar ke laman sosial Veedo iaitu www.veedo.my/dfkl.

“Penyertaan dibuka sehingga 15 Februari ini dan drama pendek terpilih berpeluang ditayangkan di stesen TV3 dan TV9.

“Penyertaan terbahagi kepada dua kategori iaitu dalam kalangan Sekolah Seni Malaysia dan orang awam apabila ia menawarkan hadiah antara RM3,000 hingga RM10,000.

“Kami juga yakin orang ramai tidak akan melepaskan peluang menyertai bengkel drama bersama 11 karyawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 dan 18 Mac depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 9:35 AM