OGY Ahmad Daud menempelak penerbit popular A Aida berikutan kenyataannya ketika menjadi juri dalam program uji bakat DFKL 2019.
OGY Ahmad Daud menempelak penerbit popular A Aida berikutan kenyataannya ketika menjadi juri dalam program uji bakat DFKL 2019.
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON legenda, Ogy Ahmad Daud menempelak penerbit popular Datuk A Aida berikutan kenyataannya meminta pelakon baru jangan membuang masa menghadiri uji bakat jika tidak memenuhi kriteria berwajah cantik dan kacak untuk diketengahkan sebagai hero dan heroin ketika menjadi juri dalam program uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, semalam.

Ogy berkata, Aida tidak perlu mengeluarkan kenyataan pedas itu jika dia sendiri tidak faham rukun lakonan.

“Buku atau rukun mana mengatakan nak jadi hero atau heroin kena cantik dan kacak? Juri yang berkata begitu adakah mereka lupa dari mana mereka bermula?

“Sistem ini dimulakan stesen televisyen dan kenapa perlu keluarkan kenyataan seolah-olah menghina ciptaan Allah? Saya pernah menjadi juri dan panel dalam DFKL dan melihat ramai peserta yang hadir mempunyai bakat luar biasa mengatasi paras rupa. Pastinya mereka (juri) juga tidak sependapat dengan saya,” katanya yang turut menyifatkan kenyataan Aida itu agak biadap.

Menurut Ogy, mereka perlu bercakap mengenai bakat dan kenapa perlu mengajar orang sekarang bahawa pelakon kena ada acuan begitu.

Katanya, paras rupa akan pudar ditelan zaman namun bakat asli akan terus setia bersama.

“Tidak dinafikan pelakon yang ada pengikut ramai di laman sosial itu bagus, tapi pastikan mereka ambil inisiatif untuk lebih berilmu dan menarik,” katanya.

Ogy berkata, sekiranya memikirkan sisi material tetapi asas ilmu tidak diberikan, ia sangat menyedihkan buat bakat-bakat baru.

Dia turut mempersoal kefahaman juri mengenai erti hero dan heroin kerana mendakwa figura yang cuba dibangkitkan adalah kisah dongeng semata-mata.

“Kita bercakap mengenai realiti kehidupan, jadi kena faham maksud hero heroin itu apa. Saya tak kisah pun orang nak kutuk saya hanya kerana bangkitkan isu ini kerana masyarakat luar akan ingat, semua produser ada sikap pilih kasih sebegini,” katanya.

Katanya, mereka sepatutnya melahirkan bakat baru yang berjiwa kental dan melihat pelbagai aspek jiwa seni.

“Di mana jati diri anak seni tempatan jika asyik meniru budaya luar negara kerana pesona seorang pelakon itu adalah lebih penting. Amat sedih kerana di tahun 2019, kita mewujudkan produser yang berfikiran cetek sebegini,” katanya.

Ogy berkata, sepatutnya mereka sentiasa merendah diri dan biarkan cara kerja menceritakan sama ada mereka bertanggungjawab terhadap kerjaya dan mendidik generasi baru ini.

Harian Metro semalam melaporkan kenyataan Aida yang menetapkan kriteria bakat baru yang kacak dan cantik untuk diangkat sebagai hero atau heroin dalam drama.

Dia juga mereka yang tidak memenuhi kriteria itu supaya jangan membuang masa menghadiri uji bakat diadakan.

Baginya, bakat lakonan adalah soal kedua kerana ia boleh digilap dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 6:25 PM