Najiy Jefri


DRAMA Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL) kini diperluaskan apabila menggabungkan empat saluran televisyen milik Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, gabungan itu dibuat untuk membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum terbabit dalam penganjuran acara tahunan itu.

"Jika sebelum ini DFKL hanya tertumpu kepada TV3 sahaja tetapi tahun ini kami ingin membuka platform lebih luas iaitu penyertaan penonton Cina dan juga Melayu urban menerusi saluran 8TV dan ntv7.

"Sebagai permulaan, kami melantik pelakon dan pengacara terkenal 8TV, Pauline Tan sebagai salah seorang duta DFKL 2018. Selain popular di kalangan penonton saluran itu dia dilihat mampu menggalas tanggungjawab itu," katanya pada sidang media DFKL 2018 di Ara Dmansara, hari ini.

Mengulas penganjuran acara memasuki usia kelima itu, Johan berkata objektifnya masih menumpukan pembangunan dalam penerbitan drama tempatan.

"DFKL masih mengekalkan objektifnya iaitu untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan memberi peluang kepada anak-anak muda menimba ilmu bersama panel berpengalaman dalam industri drama," katanya.

Bertemakan #masauntukdrama, komponen DFKL 2018 menyediakan platform mengasah bakat seperti pertandingan drama pendek, sesi pembentangan idea dan uji bakat lakonan.

Hadir sama barisan artis dan juga panel terbabit dalam penganjuran acara tahunan ini.

Antaranya Fasha Sandha, Ayda Jebat, Azira De Fam, Erma Fatima, Sheila Rusly dan ramai lagi.

Seorang lagi pelakon terpilih sebagai duta ialah Syazuwan Hassan iaitu bintang digilap bakatnya menerusi kempen ini dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 7:43 PM
Johan (tengah, berkot) bersama barisan duta dan pelakon di majlis pra pelancaran DFKL 2018. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Johan (tengah, berkot) bersama barisan duta dan pelakon di majlis pra pelancaran DFKL 2018. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN