SYARUL bersama seorang peserta uji bakat.
SYARUL bersama seorang peserta uji bakat.
JURI uji bakat lakonan terdiri daripada Umie (kanan), Sheila (tengah) dan Siti Nurlisia.
JURI uji bakat lakonan terdiri daripada Umie (kanan), Sheila (tengah) dan Siti Nurlisia.
JANNA bangga dilantik sebagai Duta DFKL 2016.
JANNA bangga dilantik sebagai Duta DFKL 2016.
PENGUNJUNG jelajah DFKL di Sungai Petani seronok dapat bergambar dengan artis.
PENGUNJUNG jelajah DFKL di Sungai Petani seronok dapat bergambar dengan artis.
Oleh Omar Osman


Bergelar pelakon drama atau filem sentiasa menjadi idaman, tetapi kerjaya berkenaan bukan bergantung kepada bakat sahaja kerana turut memerlukan minat mendalam, keterampilan diri, disiplin tinggi serta keberanian sebagai tunjang untuk kekal dalam dunia seni.

Bagi merealisasikan impian itu, TV3 dan TV9 dengan kerjasama tiga Sekolah Seni Malaysia menganjurkan siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) bertujuan mencungkil bakat mereka yang berminat mencipta nama dalam bidang lakonan.

Pengurus Besar Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9 Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, DFKL pentas buat mereka yang berbakat dalam bidang lakonan dan perlu memanfaatkan peluang diberikan.

Katanya, seperti dua tahun lalu, DFKL 2016 kali ini mengetengahkan tema ‘Dunia Drama Sebenar’ dengan mengekalkan empat komponen utama iaitu pertandingan drama pendek, uji bakat lakonan, pitching dan bengkel selama dua hari.

“Melalui jelajah DFKL, mereka yang berminat tanpa mengira status dan usia boleh menyertai sesi uji bakat lakonan yang dikendalikan oleh juri hebat Sheila Rusly bersama Erma Fatima, Datin Seri Umie Aida dibantu saya.

“Kita berharap dapat mencungkil lebih ramai bakat baru bagi mewarnai industri penyiaran, malah mereka yang layak serta terpilih juga akan menghiasi slot drama yang akan diterbitkan oleh TV3 dan TV9.

“Setiap peserta yang berbakat perlu mempunyai keterampilan diri, berdisiplin serta berani dan jika berjaya melepasi uji bakat pertama akan dipanggil untuk sesi seterusnya dan akhirnya perlu mengikuti bengkel DFKL,” katanya ketika ditemui di siri jelajah DFKL 2016 di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini DFKL lebih banyak memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Kuala Lumpur bagi mencungkil bakat dalam kalangan pelajar, namun kali ini lebih serius apabila keluar dari Lembah Klang.

“DFKL 2016 membuka tirai siri jelajah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam; UiTM Lendu, Melaka; Plaza Angsana, Johor Baru dan Village Mall, Sungai Petani sebelum berkampung selama dua hari di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Februari depan.

“Di Sungai Petani, DFKL menampilkan dua dutanya iaitu Janna Nick dan Syarul Ridwan. Jelajah ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon drama Kak Mar iaitu Rozita Che Wan dan Redza Rosli selain pelakon filem Bodyguard seperti Lan Siro dan Azrel Ismail.

“Setakat ini, DFKL 2016 menerima sambutan amat baik bermula dari UiTM Shah Alam hingga ke Sungai Petani di mana ramai peserta menyertai sesi uji bakat dan kita berharap lebih ramai mengambil peluang itu di lokasi terakhir di Sunway Putra Mall nanti,” katanya.

Janna Nick anggap diri masih belajar

Pelakon Janna Nick yang dilantik sebagai Duta DFKL 2016 berkata, dia mahu mendapat ruang lebih luas bagi mengembangkan bakatnya dalam dunia lakonan tahun ini, selain berharap single sulung Mungkin Saja mampu menaikkan namanya di persada seni.

Katanya, setakat ini album yang baru memasuki pasaran itu mendapat sambutan baik, namun masih banyak perlu dipelajari dan diperbaiki kerana berharap mendapat bimbingan serta tunjuk ajar daripada orang lama selaku pendatang baru.

“Alhamdulillah, biarpun orang baru dalam bidang seni, namun kehadiran saya diterima baik semua pihak, malah selepas melahirkan single pertama saya turut terbabit dalam lakonan melalui pentas teater berjudul Zombi La La.

“Ketika ini, saya fokus kepada bidang nyanyian dengan kelahiran single Mungkin Saja, tetapi pada masa sama meneruskan minat dalam bidang lakonan dan pengacaraan. Saya tidak akan menolak sekiranya ditawarkan untuk mengacara serta berlakon dari mana -mana pihak, namun saya sedar ianya bukan mudah, apatah lagi orang baru.

“Masih banyak perlu saya pelajari, bukan sahaja dalam nyanyian, malah lakonan dan pengacaraan sebelum mencapai hasrat serta cita-cita saya dengan sokongan peminat yang menghargai kehadiran saya dalam dunia seni tanah air,” katanya.

Syarul mahu watak lasak dan ganas

Syarul Ridwan bersyukur kerana kehadirannya dalam bidang seni mendapat sambutan baik, malah rezekinya juga tidak putus apabila ditawarkan berlakon dalam pelbagai drama.

Katanya, sehingga kini dua slot drama iaitu Rumi Jawi dan Cinta Opera sudah selesai menjalani penggambaran apabila Rumi Jawi akan ditayangkan pada Ramadan nanti sekali gus berdoa mendapat lebih banyak tawaran berlakon pada tahun ini.

“Selepas empat tahun terbabit dalam dunia lakonan, saya juga berharap mendapat tawaran berlakon filem dengan membawa watak lasak dan ganas yang mampu mencabar kredibiliti sebagai seorang pelakon.

“Bukan saya jual mahal atau menolak untuk berlakon drama, tetapi sebagai insan seni cita-cita untuk berlakon di dalam sesebuah filem adalah impian yang perlu dicapai. Siapa tidak mahu menjadi seperti Faizal Hussin, Datuk Rosyam Nor dan ramai lagi.

“Namun, saya sedar bukan mudah untuk mencapai hasrat itu kerana sebagai orang baru dalam dunia lakonan, masih banyak perlu dipelajari. Insya-Allah mungkin suatu hari nanti saya mampu berada sebaris dengan nama-nama besar itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 8:31 AM