A Aida  tetap dengan pendiriannya pelakon mesti berwajah cantik dan kacak jika mahu membawa watak hero dan heroin. FOTO/A AIDA
A Aida tetap dengan pendiriannya pelakon mesti berwajah cantik dan kacak jika mahu membawa watak hero dan heroin. FOTO/A AIDA
Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT drama popular, Datuk A Aida tetap dengan kenyataannya pelakon mesti berwajah cantik dan kacak jika mahu membawa watak hero dan heroin walaupun berdepan kritikan dan kecaman daripada penggiat seni dan netizen.

Aida, 49, atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, kriteria itu sudah lama wujud dalam bidang penerbitan drama berdasarkan pengalamannya lebih 20 tahun dalam bidang itu.

Aida yang juga penerbit drama fenomena Andainya Takdir turut menyelar sikap individu dan peminat yang tidak faham konsep penerbitan drama tetapi hanya pandai mengkritik.

“Drama kita ada banyak genre. Begitu juga program yang ada dalam negara kita. Kenyataan sebelum ini saya bercakap atas platform DFKL (Drama Festival Kuala Lumpur) itu sendiri yang mana mencari bakat untuk diketengahkan dalam drama sekali gus mencari pelapis hero dan heroin.

“Siapa nak tengok drama jika pelakon utamanya tak cantik atau kacak? Sudah semestinya dalam drama mencari yang ada rupa. Dari situ, kita boleh gilap bakat mereka. Bukannya soal bakat itu diketepikan terus. Mereka yang menghentam membabi buta ini hanya pandai bercakap.

“Saya berikan contoh, jika program mencari pelawak, datanglah rupa dan penampilan macam mana pun, kalau mereka berbakat saya akan terima. Sebab program seumpama itu memang kena ada bakat,” katanya kepada Harian Metro.

Aida yang mengeluarkan kenyataan itu ketika menjadi juri sesi uji bakat DFKL 2019 baru-baru ini berdepan pelbagai kritikan daripada penggiat seni dan netizen.

Pelakon legenda, Ogy Ahmad Daud turut menyifatkan Aida tidak faham rukun lakonan selain dianggap biadap terhadap peserta uji bakat.

Selain Ogy, beberapa rakan artis lain juga tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Aida. Malah, ada beranggapan Aida tidak sensitif selain menyifatkan kenyataan sebegitu tidak wajar.

Aida yang juga pengendali saluran di Unifi TV serta pembekal drama di beberapa saluran stesen TV utama berkata, kehendak penonton menjadi sandaran mereka.

“Saya sudah cukup berpengalaman dalam bidang ini. Saya sudah masak apa kehendak stesen TV. Malah, mereka juga membuat keputusan atas permintaan penonton. Kita sepatutnya terima hakikat. Berhenti daripada menyalahkan satu pihak saja. Perkara seperti ini bukan benda baru dalam penerbitan drama di negara kita,” katanya.

Dalam masa sama, Aida juga menafikan kenyataan dikeluarkan itu menghina ciptaan Allah SWT seperti yang disebarkan segelintir pihak.

“Mereka tidak tahu apa maksud sebenar saya. Terlalu cepat nak menghukum. Saya tidak menghina ciptaan Allah. Saya bercakap atas kapasiti sebagai juri dalam DFKL. Sudah lima tahun saya terbabit dalam program itu. Saya hanya menyuarakan perkara sebenar.

“Saya bukan jenis yang memberikan harapan palsu pada orang. Lebih baik saya berterus terang meski ia pahit ditelan. Saya siap cakap, kalau memang tidak ada rupa tapi berbakat, boleh cuba nasib untuk menjadi watak ‘extra’ dulu. Kalau ada rezeki, mungkin mereka boleh pergi jauh.

“Ada yang datang sudah lima kali sepanjang lima tahun DFKL ini. Dia berbakat dalam penulisan skrip. Saya akan bantu dia dalam bidang itu. Begitu juga dengan yang lain, saya minta mereka pergi uji bakat program yang mengutamakan bakat. Namun, dalam drama saya akan serap mereka untuk watak yang bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Aida berkata, kenyataannya itu turut dipersetujui rakan penerbit lain.

“Apabila saya bercakap perkara ini, orang nampak saya yang jahat. Apabila kenyataan saya disalah ertikan, mereka tidak bersetuju. Ini kerana, mereka juga bersependapat sama dengan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 12:22 PM