Fazurawati Che Lah


KECEMERLANGAN pendidikan sentiasa menjadi agenda utama bagi Kementerian Pendidikan.

Tuntutan untuk menyediakan pentas pendidikan atas prinsip kesamarataan juga menjadi tanggungjawab dan memastikan murid istimewa di seluruh negara mencapai tahap yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada semua program yang dilaksanakan.

Antara program itu ialah Majlis Tilawah al-Quran Pendidikan Khas yang menjadi landasan ke arah kecemerlangan kurikulum.

Acara berkenaan memberi peluang kepada pelajar istimewa daripada pelbagai kategori mempertingkatkan potensi diri dan sahsiah dalam memenuhi tuntutan rohani.

Melalui aktiviti itu, pelajar berkeperluan khas dapat turut serta dalam pertandingan sama seperti pelajar normal pada peringkat lebih tinggi.

Tidak pernah membezakan kemampuan murid atau pelajar berkeperluan khas, penganjuran Majlis Tadarus al-Quran (MTAQ) dan Nasyid Pendidikan Khas Daerah Petaling Perdana 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 3, Puchong, Selangor selaras misi pendidikan negara yang mahu memberi keseimbangan aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.

KUMPULAN nasyid membuat persembahan dengan penuh keyakinan. FOTO Aziah Azmee
KUMPULAN nasyid membuat persembahan dengan penuh keyakinan. FOTO Aziah Azmee

Membabitkan hampir 300 murid dan pelajar istimewa dari 35 sekolah di daerah Petaling Perdana, mereka diberi peluang untuk beraksi dalam acara nasyid, tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bercerita kisah daripada al-Quran, syarahan, khat Jawi dan azan Subuh.

Pelbagai aksi menarik dan mencemaskan daripada peserta turut berlaku apabila ada segelintir daripada mereka masih malu dan kekok sehingga lupa apa yang hendak dilontarkan.

Lebih menarik, kategori syarahan berlangsung dalam suasana yang senyap sunyi kerana pesertanya terdiri daripada pelajar bermasalah pendengaran.

Mata penonton terpaku melihat gerak tangan peserta syarahan di depan juri membahas idea menggunakan bahasa isyarat dengan penuh yakin.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Selangor, Musa Ismail.

Musa berkata, beberapa dasar dirancang kementerian bagi melihat kemenjadian murid termasuk mereka berkeperluan khas.

“Kemenjadian yang dimaksudkan bukan hanya merangkumi bidang akademik dan kemahiran teknikal semata-mata, tetapi meliputi bidang kerohanian dan spiritual.

“Saya percaya penganjuran ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan, tetapi paling penting mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya,” katanya.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pendidikan Khas Petaling Perdana, Nor Azlina Suboh dan Guru Besar SK Puchong Utama 3, Zaimy Shah Bhari.

Majlis MTAQ yang berlangsung sehari itu membabitkan murid dengan masalah pembelajaran serta pendengaran.

PELAJAR pendidikan khas juga mahir bermain alat muzik. FOTO Aziah Azmee
PELAJAR pendidikan khas juga mahir bermain alat muzik. FOTO Aziah Azmee

Musa berkata, pelbagai acara dianjurkan bagi mengasah bakat murid berkeperluan peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah.

“Semua itu diharap dapat menanam sifat cinta akan al-Quran mahupun aktiviti berunsurkan keagamaan untuk membentuk peribadi serta rohani, meskipun peserta terdiri daripada golongan istimewa.

“Malah, sebelum ini kalau dilihat potensi, mereka mempunyai kemampuan setara dengan pelajar normal apabila membabitkan skil mahupun persembahan.

“Selain itu kerjasama pendidik banyak membantu pelajar mengambil bahagian dan memberi saingan dalam kalangan rakan sebaya mereka,” katanya.

Katanya, bagi jaminan masa depan yang lebih cerah kepada anak kurang upaya (OKU), kerajaan turut menyediakan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) bagi membolehkan pelajar istimewa mempelajari pelbagai program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Berdasarkan laman web Kementerian Pendidikan, terdapat empat SMPKV disediakan kerajaan iaitu SMPKV Indahpura, Kulaijaya, Johor; SMPKV Kuantan, Pahang; SMPKV Merbok, Kedah dan SMPKV Shah Alam, Selangor.

Selain itu, 30 sekolah merangkumi Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dibina kerajaan di hampir semua negeri.

PESERTA pertandingan syarahan, Nur Allysa Ghazali, 17, menggunakan bahasa isyarat. Gambar kanan: Peserta tilawah Al-Quran, Muhammad Irfan Mohd Hezri. FOTO Aziah Azmee
PESERTA pertandingan syarahan, Nur Allysa Ghazali, 17, menggunakan bahasa isyarat. Gambar kanan: Peserta tilawah Al-Quran, Muhammad Irfan Mohd Hezri. FOTO Aziah Azmee

Musa berkata pelajar yang sudah tamat tingkatan lima di SMPKV turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam bidang kemahiran.

Menurutnya, pelbagai kursus ditawarkan di SMPKV antaranya pembuatan pakaian wanita, pendandan rambut, peralatan dan penyaman udara, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik serta pembuatan batik.

“Ada juga kursus pembuatan perabot, operasi pengemasan, penyediaan dan pembuatan makanan serta menyelenggara motosikal,” katanya.

Menurutnya, pelajar juga menerima bimbingan daripada guru sepenuhnya memandangkan mereka terdiri daripada pelbagai kategori antaranya lambat pembelajaran, sindrom Down, hiperaktif, autisme serta cacat anggota.

Katanya, walaupun pelajar istimewa, mereka memiliki kesungguhan serta mampu menghasilkan produk berkualiti.

“Mereka juga ada kemahiran yang baik dan ia perlu digilap,” katanya.

Sementara itu, Zaimy Shah berkata, dalam menjayakan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) untuk murid berkeperluan khas, guru perlu banyak bahan sumber serta bahan bantu mengajar.

“Mengajar murid khas di dalam kelas tidak sama seperti murid tipikal yang boleh faham bila dengar (auditori) sahaja.

“Murid khas perlu gabungkan, dengar, lihat, hidu, sentuh, gerak dan buat. Gabungan kepelbagaian pendekatan sensori dalam PdPc bagi meningkatkan kefahaman,” katanya.

Katanya, bagi memastikan PdPc untuk murid berkeperluan khas dijalankan dengan baik dan lancar, sekolah akan menempatkan seramai tujuh hingga 10 orang murid sahaja bagi satu kelas.

GURU membetulkan songkok peserta nasyid sebelum persembahan bermula. FOTO Aziah Azmee
GURU membetulkan songkok peserta nasyid sebelum persembahan bermula. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:00 AM
GURU pembimbing melakukan persiapan sebelum persembahan bermula. FOTO Aziah Azmee
GURU pembimbing melakukan persiapan sebelum persembahan bermula. FOTO Aziah Azmee