IZZUE akui ada pihak tidak akan berhenti untuk hancurkan rumah tangganya.
IZZUE akui ada pihak tidak akan berhenti untuk hancurkan rumah tangganya.
HM Digital

Siapa sanggup bertahan dengan tuduhan serta fitnah tanpa henti yang boleh memberi kesan kepada kerjaya dan rumah tangga?

Lebih pedih, dakwaan hubungan cinta dan perkahwinan dibina kerana penangan bomoh dan amalan ilmu hitam.

Disebabkan hal itu, tidak hairanlah Izzue Islam dan isterinya, Awin Nurin terpaksa menjawab tuduhan demi tuduhan di laman media sosial peribadi mereka minggu lalu.

“Ini bukan kali pertama kerana sejak awal perkahwinan sehingga sekarang macam-macam orang bercakap mengenai saya dan Awin.

“Mungkin ada yang tidak suka dan mahu melaga-lagakan saya dan isteri walhal kami saling memahami. Mohon saya, janganlah cuba jatuhkan rumah tangga orang,” kata Izzue.

Anggota kumpulan Forteen itu menegaskan fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya dan isteri benar-benar melukakan hati.

Malah, Awin pernah mengalirkan air mata berikutan kata-kata tidak masuk akal itu.

“Kami sudah bersedia berdepan dengan dugaan ini terutama mereka yang tidak suka melihat kami bahagia.

“Saya tidak terkejut tetapi apabila terlalu banyak kami jadi penat,” kata Izzue.

Pelakon drama Ops Cinta Din Sardin ini tidak menafikan pihak berkenaan tidak akan berhenti dan akan mencari apa saja cara untuk menghancurkan rumah tangganya.

Untuk itu, Izzue sekali lagi meminta pihak luar agar menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana sedikit sebanyak mengganggu kerjayanya.

Katanya, andai perkara ini menjejaskan periuk nasi dan rumah tangga yang dibina sejak 2 Jun 2013, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

Berbicara mengenai sambutan Ramadan dan Syawal, seperti tahun terdahulu dia sibuk berniaga di bazar setiap minggu.

Baru sahaja melancarkan pakaian dalam lelaki jenis ‘boxer’, Izzue terkejut kerana produk itu habis dijual dalam tempoh tiga hari saja.

“Boxer ini sepatutnya cukup untuk jualan sehingga selepas Syawal tetapi nampaknya kami terpaksa menunggu pengeluaran baru sebab kilang sibuk siapkan kurta dan songkok.

“Pada peringkat awal, kami keluarkan 120 helai sebab nak tengok dulu pasaran dan tak sangka ia habis. Melihat sambutan menggalakkan, kami akan keluarkan dalam jumlah lebih besar, mungkin 500 hingga 1,000 helai,” katanya.

Syawal ini, Izzue akan bercuti selama seminggu kerana seorang abangnya akan berkahwin. Sebelum ini, dia hanya bercuti selama satu atau dua hari pada hari lebaran kerana terikat dengan komitmen kerja. -Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 6:58 AM