PENYANYI, Kayda Aziz ketika pelancaran album "Love for No Reason" di Publika. FOTO Halim Salleh
PENYANYI, Kayda Aziz ketika pelancaran album "Love for No Reason" di Publika. FOTO Halim Salleh
Ramlah Zainal


PENYANYI Kayda Aziz sama sekali tidak mahu menggunakan pe­ngaruh ibu bapanya dalam bidang muzik iaitu penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid dan penerbit berkaliber, Roslan Aziz kerana mahu berusaha sendiri untuk memberi inspirasi kepada orang ramai.

Kayda, 27, berkata, jika dia mendapat laluan mudah dan berjaya kerana menumpang nama ibu bapa, bagaimana dia mahu memberi inspirasi kepada orang lain?

“Ada juga artis yang berjaya tanpa menumpang nama dan pengaruh keluarga mereka,” kata penyanyi rap ini.

Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda berkata, dia sudah dididik ibu bapanya untuk berdikari sejak kecil.

“Saya mula menyanyi secara profesional sejak berusia 21 tahun sampailah sekarang. Dalam tempoh enam tahun, saya tidak pernah putus asa untuk mendapat tempat dalam bidang muzik tanah air,” katanya.

Kayda berkata, dia mahu dikenali peminat kerana usaha sendiri tanpa bergantung pada nama dan pengaruh ibu bapanya.

“Bagaimana saya mahu mendapat kepuasan dalam bidang muzik jika semuanya boleh dapat dengan cara yang mudah? Sejak awal menyanyi sampai sekarang saya juga menggunakan bajet dan wang sendiri untuk menghasilkan single dan album,” katanya.

Mengulas namanya lebih dikenali sebagai penyanyi ‘urban’ pula, Kayda tidak menafikannya.

“Saya memang mahu memasuki pasaran muzik Melayu sejak dulu. Namun, percubaan saya mempertaruhkan lagu Melayu sebelum ini tidak dapat menarik peminat.

“Pada masa sama, saya juga masih mencari pasukan pemasaran dan promosi yang bagus untuk membantu menaikkan nama dalam pasaran muzik Melayu selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 7:30 AM