PENYANYI, Kayda. FOTO Aziah Azmee
PENYANYI, Kayda. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


BAGI penggemar muzik urban, nama penyanyi muda berbakat besar Kayda Aziz tidak asing lagi kerana dia antara pejuang genre hip hop sejak berusia 13 tahun.

Malah, anak ratu jaz, Datuk Sheila Majid dan penerbit berkaliber, Roslan Aziz ini berkecimpung dalam bidang muzik secara profesional sejak enam tahun lalu.

Namun, ia bukanlah laluan mudah buat anak sulung pasangan berkenaan untuk mencipta nama dalam kalangan penggemar muzik Melayu serta memiliki pengaruh sehebat ibu bapanya.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Wan Nur Khaleda Aziz, 27, mengakui agak sukar buat dirinya menandingi kehebatan ibu yang cukup dikenali dalam industri muzik Melayu.

“Pernah terdetik juga di hati sama ada orang mungkin takut mahu bekerjasama kerana nama besar ibu bapa atau saya sendiri yang belum cukup bagus?

“Saya sendiri lebih selesa berdikari mencipta nama dalam bidang muzik tanpa dibayangi pengaruh besar ibu dan bapa sejak kecil.

“Bukan saya tidak mahu meminta bantuan ibu bapa tetapi perjalanan muzik kami tidak sama dan cita rasa penggemar muzik hari ini juga sudah berubah,” katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua ibu bapa merestui minatnya itu, kata Kayda, mereka memang menyokong minatnya dalam bidang muzik sejak dulu.

“Ibu bapa memang menyokong kerjaya seni tetapi mereka tidak manjakan saya dengan wang dan kemewahan.

“Mereka tidak akan memberikan wang dengan mudah. Kalau senang dapat wang daripada mereka, saya tidak akan berada di Malaysia.

“Saya mungkin sudah berada di New York bagi mendapatkan pasukan kerja terbaik untuk mengejar cita-cita menjadi penyanyi yang hebat,” katanya.

Bagaimanapun, Kayda sanggup bekerja keras mengejar apa yang diimpikan dalam karier muziknya.

“Saya percaya, penyanyi hip hop terkenal seperti Joe Flizzow dan Altimet juga memiliki pasukan kerja yang bagus untuk menaikkan nama mereka.

“Mereka mampu menawan pendengar dengan muzik mereka. Oleh itu, saya juga boleh melakukannya,” katanya.

MAHU TEMBUSI PASARAN MUZIK MELAYU

MENURUT Kayda, dia tidak pernah putus asa untuk mendapat tempat dalam kalangan peminat lagu Melayu sejak dulu.

Sebelum ini, Kayda pernah bekerjasama untuk projek khas bersama penyanyi Hunny Madu menerusi lagu duet rap Melayu berjudul Go Hard or Gostan serta Gucci Dowh tetapi belum cukup menaikkan namanya.

“Terus terang, saya sudah lama mahu memasuki industri muzik Melayu dan bukannya hanya dikenali kelompok tertentu saja tetapi sayangnya percubaan itu kurang menjadi.

“Ini bukannya soal lagu atau komposer tetapi kerja berpasukan. Sebab itu saya masih mencari pasukan pemasaran dan promosi yang bagus untuk mengetengahkan bakat serta kemampuan dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Beralih pembikinan album pula, kata Kayda, dia pernah menghasilkan album Love For No Reason yang diterbitkan pada Mac tahun lalu.

“Saya juga sudah dididik ibu bapa untuk mendapatkan apa yang diingini dengan usaha sendiri sejak kecil.

“Sebab itu saya menerbitkan album pertama ini dengan usaha sendiri tanpa menggunakan sesen pun duit keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:00 AM