Caption<SYAFIQ Kyle dan Hannah Delisha bersama barisan pelakon filem Langsuir yang sedang ditayangkan di pawagam. FOTO Zunnur Al Shafiq
Caption<SYAFIQ Kyle dan Hannah Delisha bersama barisan pelakon filem Langsuir yang sedang ditayangkan di pawagam. FOTO Zunnur Al Shafiq
Norhayati Nordin


SUTRADARA filem berkaliber Osman Ali bersyukur apabila karya terbarunya Langsuir sudah mencatat kutipan RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan di pawagam.

Osman yang dihubungi berkata, dia bagaimanapun tidak dapat memaklumkan jumlah kutipan secara terperinci.

“Setakat ini, apa yang saya tahu jumlah kutipan filem Langsuir di pawagam sudah pun berjaya mencecah RM1 juta.

“Syukur, Alhamdulilah dan terima kasih kepada semua penonton terutama peminat pelakon Syafiq Kyle dan Hannah Delisha yang menyokong filem ini,” katanya.

Mengulas mengenai ura-ura penghasilan sekuel filem itu, Osman sama sekali tidak menafikannya.

“Melihatkan pada sambutan positif diterima, saya bercadang menghasilkan sekuel filem (Langsuir) ini pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, semuanya masih dalam perancangan kerana saya perlu meneliti aspek kewangan juga,” katanya.

Caption<OSMAN Ali. FOTO Zunnur Al Syafiq
Caption

Menurut Osman, untuk menghasilkan filem yang bagus dan berkualiti semestinya faktor kewangan juga harus diambil kira.

Ditanya mengenai skrip untuk sekuel itu, katanya, draf skrip sudah ada tetapi masih perlu diolah supaya lebih baik.

“Apapun, saya bercadang mahu mengembangkan plot ceritanya menjurus kisah percintaan Azlan (lakonan Syafiq) dan Suri (Hannah).

“Bagi saya, ada kisah menarik yang boleh dikupaskan lagi untuk sekuel filem yang dirancang itu,” katanya sambil memberikan gambaran awal.

Filem Langsuir lakonan Syafiq dan Hannah buat kali pertama di layar perak menemui penonton di pawagam pada 20 September lalu.

Terdahulu, Osman mengakui dia memilih Syafiq dan Hannah untuk watak utama selepas menonton drama Mencintaimu Mr Photographer lakonan mereka.

Osman juga berpuas hati dengan komitmen diberikan dua bakat meningkat naik itu untuk membintangi filem Langsuir.

Selain Syafiq dan Hannah, Langsuir turut dibintangi pelakon baru seperti Julia Farhana Marin, Firdaus Nadxaman, Daaim Jailani, Shahkimin, Nazri John dan Halim Radzi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 8:11 PM