JOANNA tidak mahu terikut arus perdana. FOTO/FAIL
JOANNA tidak mahu terikut arus perdana. FOTO/FAIL
Ardini Sophia Sina


WALAUPUN tujuh tahun menyepi tanpa karya baru, ikatan Joanna And Co masih kukuh. Malah, mereka kini sedang merancang untuk tampil dengan lagu baru berjudul Go Ahead.

Masih mengekalkan konsep dan genre lagu sama seperti Aku Pelangi, kumpulan yang dianggotai Joanna sebagai penyanyi, Ijam (gitar), Kusha (bass) dan Farid (dram) berharap ia dapat diterima semua lapisan masyarakat.

Mulai mewarnai industri muzik tanah air sejak 2006, Joanna And Co menegaskan mereka akan terus mengekalkan identiti muzik tanpa terikut-ikut dengan situasi terkini di arus perdana.

“Lagu baru ini tidak lari jauh daripada karya kami sebelum ini. Kami masih kekalkan genre pop tetapi mungkin yang akan berbeza adalah lirik dan susunan muzik lebih matang.

“Kami tidak terfikir untuk mengikut muzik arus perdana dengan harapan agar kami diterima. Kami akan kekal dengan konsep begini kerana itu adalah identiti Joanna And Co sejak awal pembabitan,” kata Joanna.

Tidak hanya lagu baru, kumpulan ini juga bakal mengadakan persembahan sempena ulang tahun ke-13 mereka pada 15 Disember ini di The Bee Publika, Kuala Lumpur.

Projek itu sudah pasti membuatkan mereka teruja tambahan pula peminat sudah lama menantikan kehadiran semula mereka.

Kembali aktif memacu semula kerjaya mereka, Joanna And Co tidak kisah jika ada yang beranggapan mereka adalah kumpulan baharu yang cuba mencari tapak untuk membina kerjaya.

Kata Joanna, jika ada yang berfikiran begitu, ia menandakan kemunculan mereka mempertaruhkan Go Ahead berjaya mencuri tumpuan generasi baharu seterusnya peminat dalam kalangan anak muda.

“Kami tidak kisah walaupun dipandang sebagai kumpulan baru. Bagi saya, itu menandakan kami berjaya mencuri perhatian generasi muda dengan konsep lagu yang kami perjuangkan.

“Rasanya tidak ada masalah pun kalau ada yang menganggap kami sebagai orang baru dalam industri. Bukanlah sesuatu yang memalukan atau menjatuhkan reputasi. Ia adalah situasi biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 3:45 AM