KINI berkurung di studio untuk menyiapkan single pertama.
KINI berkurung di studio untuk menyiapkan single pertama.
Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN Joanna & Co kini sudah tiada dan penyanyinya, Joanna Renisa kini bergerak atas namanya sendiri.

Joanna menubuhkan kumpulan Joanna Renisa pada Oktober tahun lalu bersama Kusha yang juga pemain bass Joanna & Co sebelum itu.

Pada Disember tahun lalu, mereka dilengkapi dengan dua lagi anggota iaitu Jay Cugat, ahli kumpulan Pretty Ugly sebagai pemain gitar dan Agus (drum).

Joanna Renisa yang memilih konsep muzik city pop rock & roll kini dalam fasa terakhir untuk memasuki studio dan merakamkan single sulung.

"Ia dijangka siap dan memasuki pasaran April ini. Konsep Joanna Renisa sama seperti Ella & The Boys di mana kami bergerak sebagai satu kumpulan, tetapi tumpuan diberikan kepada penyanyi utama.

"Selain single sendiri, kami juga terbabit dalam gerakan #indiealliancemy iaitu koleksi beberapa kumpulan muzik 'independent' seperti Gerhana Skacinta, The Times dan Subculture.

JOANNA membubarkan kumpulan lamanya dan kini dikenali sebagai Joanna Renisa.
JOANNA membubarkan kumpulan lamanya dan kini dikenali sebagai Joanna Renisa.

"Gerakan #indiealliancemy ini bertujuan untuk membuka ruang kepada kumpulan muzik 'independent' negara ini supaya muzik mereka didengari dan sampai kepada orang ramai," kata Joanna.

Menurutnya, ia juga bertujuan untuk memberitahu peminat kumpulan muzik 'indipendent' bahawa mereka masih kekal berjuang walaupun menghadapi cabaran getir mengharungi penularan Covid-19.

"Banyak aktiviti sudah dirancang Joanna Renisa bermula dengan mengeluarkan single pertama April ini dan disusuli promosi bertemu peminat. Perancangan lanjut dibuat berdasarkan keadaan semasa Covid-19. Apapun sama-sama kita berdoa supaya penularan Covid-19 segera berakhir untuk kita kembali aktif mengadakan pelbagai aktiviti seperti dahulu," katanya.

Ketika bersama Joanna & Co, mereka pernah dilamar beberapa syarikat rakaman terkenal, tetapi terpaksa menolak kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Pencapaian terbesar yang diraih Joanna secara individu ialah tercalon sebanyak dua kali menerusi Anugerah Planet Muzik (APM) bersama Aliff Aziz.

Perkembangan lanjut kumpulan ini boleh diikuti menerusi Instagram dan Facebook Joanna Renisa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:20 AM