PESAWAT akan sambut ulang tahun ke-10.
PESAWAT akan sambut ulang tahun ke-10.
Ardini Sophia Sina


Kumpulan Pesawat yang sekian lama mewarnai industri muzik tanah air dengan memperjuangkan muzik indie akan tetap kekal dengan identiti itu.

Walaupun lagu mereka tidak mengikuti arus peredaran genre muzik masa kini, mereka percaya masih ada peminat dapat menerima konsep lagu didendangkan.

Pesawat yang dianggotai Jipie, Mann, Nizam Camel dan Kudux selesa dengan irama lagu rock, rancak dan bingit.

Meraikan ulang tahun Pesawat yang kesepuluh, mereka tidak ada masalah untuk berubah dan tampil dengan lagu lebih ringan dan ‘catchy’.

Bagaimanapun, elemen muzik yang menjadi ‘signature’ mereka sejak awal kemunculan tidak akan pudar.

Menurut Mann, mereka boleh saja membawakan lagu sedia ada dengan genre dangdut atau pop rock. Namun, ia akan dimainkan dengan menyuntik elemen Pesawat.

“Kalau diminta untuk membawakan lagu dangdut atau pop rock, kami boleh main, tidak ada masalah, tetapi bunyi yang akan terhasil adalah berdasarkan identiti Pesawat.

“Kami ingin kekal dengan konsep muzik indie. Kami percaya, masih ada ruang untuk melebarkan sayap walaupun sekarang ini banyak lagu balada dan pop dipertaruhkan,” katanya.

Lebih tiga tahun menyepi tanpa lagu baru, Pesawat ingin tampil dengan lagu yang lebih matang dari segi penulisan lirik serta susunan muzik seiring usia mereka sebagai anak seni.

Luluh adalah lagu pertama yang menggambarkan sisi ‘dewasa’ mereka sebagai penghibur. Mereka lega apabila karya itu berjaya menarik peminat baharu yang menantikan single kedua.

Bakal muncul dengan album penuh, Pesawat giat mencari material yang sesuai untuk dimuatkan dalam album berkenaan.

Selain itu, mereka juga mengadakan siri jelajah di beberapa negeri bagi meraikan ulang tahun kesepuluh mereka.

Menurut Jipie pula, siri jelajah yang diadakan bersama Plague Of Happiness itu mendapat sambutan hangat di Johor Bahru.

Walaupun tidak mencapai jumlah sasaran, mereka komited untuk menghiburkan tetamu.

“Kami namakan siri jelajah ini sebagai Mirage 10 Tahun kerana lagu itu banyak membawa kenangan manis. Untuk memeriahkan lagi jelajah ini, kami buat bersama-sama Plague Of Happiness yang juga meraikan ulang tahun kesepuluh album mereka berjudul Kawan,” katanya.

Mengimbas kembali kenangan manis Pesawat, mereka tidak dapat melupakan detik lagu pertama berjudul Mirage berjaya menarik perhatian pendengar luar negara walaupun ia dalam bahasa Malaysia.

“Kalau mahu cerita, memang banyak kenangan manis, tetapi kami tidak dapat lupakan apabila Mirage memberikan kami laluan dalam industri muzik. Radio mula mainkan lagu itu sedangkan ketika itu ia hanyalah sebuah demo,” kata Jipie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:04 AM