Suhaimi (kiri) bersama barisan pelakon Kalla, Azran Rani (tengah, atas), Farali (tengah) dan Riz Amin. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Suhaimi (kiri) bersama barisan pelakon Kalla, Azran Rani (tengah, atas), Farali (tengah) dan Riz Amin. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Norhayati Nordin


PENERBIT produksi Little Film, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim mengesahkan sutradara berpengalaman, Wan Hasliza Wan Zainuddin menarik diri sebagai pengarah filem Kalla yang menemui penonton di pawagam pada 11 Oktober nanti.

Suhaimi memberitahu ketika menjawab pertanyaan media berikutan ketidakhadiran Wan Hasliza di majlis sidang media pelancaran rasmi trailer dan lagu runut bunyi (OST) filem Kalla anjuran produksi itu, semalam.

Jelas Suhaimi lagi, pengarah terbabit ada menghantar surat penarikan diri untuk namanya dilucutkan sebagai pengarah filem Kalla pada Ramadan lalu.

"Wan Hasliza menerusi surat yang dihantarnya kepada saya meminta menarik diri dan tidak mahu namanya diletakkan sebagai pengarah filem ini (Kalla).

"Dalam surat itu, dia (Wan Hasliza) mahu saya gantikan dengan nama samaran sebagai Alan Smithe. Jadi, selaku penerbit saya ikutkan saja," katanya.

Ditanya apa sebenarnya berlaku, Suhaimi berkata ada beberapa perkara tidak dipersetujuinya berhubung cadangan daripada pengarah itu.

"Antaranya, dia (Wan Hasliza) tidak setuju saya mahu filem Kalla ditayangkan tahun ini dan ingin tarikh tayangan dibuat di pawagam pada 2019 nanti.

"Malah, ada juga hubung kait dengan beberapa hal lain. Namun, selaku penerbit saya enggan bertangguh lebih lama lagi untuk tayangan filem ini.

"Ia dibimbangi menambahkan kos perbelanjaan, berikutan setakat ini untuk filem Kalla saja boleh dianggarkan pelaburan dibuat mencecah RM3 juta," ujarnya.

Suhaimi berkata apa pun, beliau menerima baik penarikan diri Wan Hasliza itu dan baginya tidak ada sebarang isu besar di antara mereka.

"Saya menghormati keputusan dibuat oleh Wan Hasliza. Malah, saya gembira dengan hasil kerja seninya dalam menyiapkan penggambaran penuh filem Kalla pada Januari lalu.

"Cuma, selaku pengarah dia tidak terbabit langsung dalam bahagian 'post produksi' filem saja. Kini, apa yang saya harapkan Kalla mendapat sambutan baik penonton di pawagam nanti," katanya.

Mengulas juga mengenai keuntungan, Suhaimi enggan meletakkan sasaran.

Katanya, apa yang paling utama Kalla memuatkan jalan cerita menarik harus ditonton masyarakat di negara ini.

Menyentuh juga perubahan tarikh tayangan, Suhaimi berkata memang sepatutnya Kalla menemui penonton di pawagam pada September ini tetapi melalui perbincangan semula dengan Skim Wajib Tayang, ia ditetapkan tayangannya pada 11 Oktober nanti.

Lagu OST filem Kalla berjudul Hidup Atau Mati adalah hasil ciptaan sepenuhnya komposer terkenal, Ajai dan dinyanyikan duet oleh penyanyi Noryn Aziz dan Hazama.

Filem Kalla bergenre aksi dan'adventure' dibarisi pelakon seperti Faizal Hussein, Azhan Rani, Vanida Imran, Zaidi Omar, Riz Amin, Farali Khan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 12:48 PM