Zaara Talita 


Kuala Lumpur : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui emosinya bercampur baur selepas menonton keseluruhan jalan cerita filem Anwar: The Untold Story yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik tanah air. 

Anwar berkata, filem itu mengimbas kembali peristiwa pahit yang dilaluinya sebelum ini, namun sebagai pemimpin beliau disarankan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya bijak mengawal emosi di hadapan rakyat. 

"Saya hanya manusia biasa. Ada tersentuh perasaan, ada sedihnya walaupun sepertimana isteri saya menyebut dalam filem yang mana kita harus kawal dan jangan pamerkan kesedihan kepada rakyat. 

"Sepanjang hidup derita di penjara, hanya sekali saya menangis iaitu apabila ibu saya meninggal dunia. Itu saya tidak boleh kawal. Selebihnya, tawa dalam tangisan," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau menegaskan konteks yang diketengahkan dalam filem berkenaan juga adalah tepat. 

Baginya, sukar bagi pihak produksi mahu merumuskan keseluruhan kisah yang berlaku ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998. 

"Saya menonton filem ini buat kali pertama, tapi selebihnya saya serahkan hak filem ini kepada penerbit. Filem ini bebas, kreatif dan jalan ceritanya juga ditemubual ramai orang. Sinematografi filem ini juga sangat baik.

"Peristiwa puluhan tahun mahu disingkatkan dalam satu jam lebih sudah tentunya tidak mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan kecekalan, kepintaran dan pengalaman pihak produksi," katanya.

Terdahulu, Anwar bersama Wan Azizah Wan Ismail hadir ke sesi tayangan khas filem Anwar: The Untold Story yang memaparkan ranjau perjalanannya dalam arena politik tanah air di pawagam di pusat beli belah terkemuka, di sini.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta itu dihadiri beberapa tetamu kehormat, tokoh politik, penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan.

Majlis tayangan anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem Anwar: The Untold Story menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.

Karya sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil, yang memegang watak utama sebagai Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem yang bakal ditayangkan bermula 18 Mei depan itu digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar dengan penggambarannya dijalankan di Malaysia dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 8:24 AM