WALAUPUN sekadar lakonan di layar hijau, babak melompat dari kren memukau tontonan.
WALAUPUN sekadar lakonan di layar hijau, babak melompat dari kren memukau tontonan.
Amirul Haswendy Ashari

Belum lagi hilang kehangatan aksi lasak Dwayne ‘The Rock’ Johnson melalui filem Rampage dan Jumanji awal tahun ini, bekas ahli gusti profesional itu kembali dengan filem Skyscraper pula.

Filem kali ini menyuntik pelbagai elemen kejutan, antaranya kebakaran di bangunan tertinggi dunia dengan ratusan mangsa terperangkap di dalamnya.

Terdapat juga momen menakutkan dan tekanan. Jika penonton takutkan ketinggian atau ‘gayat’, filem ini menambah tekanan.

Pengarahnya, Rawson Marshall Thurder dalam satu temu bual mengakui dia seorang yang takut dengan ketinggian dan sering mengelak daripada berdiri berdekatan tingkap di bangunan pencakar langit.

“Ibu saya takutkan ketinggian, begitu juga dengan saya. Nampaknya saya sudah menghasilkan filem yang salah. Mungkin saya patut hasilkan filem mengenai rumah, kebun atau seumpamanya,” katanya ketawa.

Bercerita mengenai babak aksi di mana Dwayne melompat di ruang antara bangunan yang terbakar dan kren, Rawson akui dia banyak berfikir mengenainya.

BABAK yang menjadi tarikan utama filem Skyscraper lakonan Dwayne Johnson.
BABAK yang menjadi tarikan utama filem Skyscraper lakonan Dwayne Johnson.

“Banyak yang saya fikirkan. Pertama, bagaimana memasuki bangunan terbakar ketika keluarga sendiri terperangkap di dalamnya pada ketinggian 100 tingkat?

“Adalah sukar untuk masuk dari bawah dan memanjat ke atas. Jadi bagaimana anda akan lakukan?” katanya.

Rawson berkata, selepas terperangkap dalam persoalan itu, dia mula mendapat idea yang disifatkan cukup mengujakan yang tidak pernah dilihat dalam mana-mana filem sebelum ini.

Dia berpendapat aksi itu dianggap paling sesuai untuk dipaparkan dalam naratif. Kemudian ditambah dengan debaran saat watak Will Sawyer lakonan Dwayne cuba melompat buat kali pertama menggunakan cangkuk kren untuk masuk dan tiba-tiba gagal.

Percubaan keduanya juga hampir gagal sehingga memaksa watak itu bergantung sepenuhnya kepada takdir saja.

“Saya pelajari semua elemen ini melalui Spielberg terutama dari segi peningkatan tekanan dan masalah yang menolak kita kepada perwatakan, sekali gus mendedahkan watak itu sendiri.

“Jadi, dia perlu buat pilihan. Bagaimana keluarganya sangat penting dan apakah perkara yang sanggup dikorbankan? Hasilnya, dia sanggup mengambil apa saja risiko,” katanya yang turut menyelitkan elemen humor pada babak awal.

PENGARAH, Rawson Marshall Thurder berkongsi idea dengan Dwayne untuk babak dalam Skyscraper.
PENGARAH, Rawson Marshall Thurder berkongsi idea dengan Dwayne untuk babak dalam Skyscraper.

Rawson berkata, filem Die Hard lakonan Bruce Willis adalah filem paling diminatinya sepanjang zaman.

Dia menyifatkan tekanan yang wujud dalam filem seperti sebuah filem aksi yang dihasilkan di puncak Gunung Rushmore.

“Bagi saya, filem ini sangat tertekan dan penonton akan memegang erat kerusi mereka selain menontonnya daripada celah jari kerana mahukan momen lega selepas babak sebegitu,” katanya.

Dia juga berpendapat, tahun ini adalah tahun yang baik untuk adiwira terutamanya melalui filem Skyscraper yang bersifat adiwira yang tercipta disebabkan tuntutan tekanan dari dalam kehidupan.

Katanya, filem ini bukan saja mengenai adiwira semata-mata seperti mana filem adiwira lain yang ada agenda dan tuntutan tersendiri.

“Kami ada sekuel di sebalik diri kami. Kami ada 11 sekuel yang boleh diisi selama mana yang kami mahu.

“Kami juga satu-satunya filem yang tidak meletakkan adiwira di tengah-tengah jalan cerita,” katanya bangga dengan usaha dilakukan pasukan produksi.

DWAYNE dan Neve menjadi pasangan suami isteri.
DWAYNE dan Neve menjadi pasangan suami isteri.

Dia akui tidak banyak syarikat produksi menghasilkan filem sebegini dan menyifatkan filem arahannya ini sama seperti filem aksi asli dulu seperti Die Hard, Towering Inferno atau The Fugitive.

“Saya tak pastinya mengenainya tetapi saya pasti ia seperti sekeping surat cinta kepada filem-filem itu,” katanya.

Dwayne beri amaran

Pelakon berketurunan Fiji ini memberi amaran kepada peminat yang mempunyai masalah ‘gayat’ supaya tidak menonton filem terbaru lakonannya ini.

Dwayne berkata, ada penonton yang mula memakai pengesan aktiviti ‘Fitbit’ ke sesi tontonan bagi memerhati reaksi fizikal mereka terhadap babak-babak ngeri.

“Pemakaian ‘Fitbit’ adalah benda betul dan kami gelarkannya sebagai fenomena Fitbit. Apa yang berlaku adalah mereka yang memakai Fitbit melaporkan kadar degupan jantung mereka melebihi 100 walaupun dalam keadaan duduk!

“Jadi, jika anda ada masalah gayat atau darah rendah, lebih baik bawa kawan” katanya.

BELAKANG tabir pembikinan filem Skyscraper.
BELAKANG tabir pembikinan filem Skyscraper.

Seorang lagi pelakon, Neve Campbell berkata, emosi ala ‘roller coaster’ yang bakal dialami amat berbaloi.

Neve berpendapat, mereka yang mendakwa takutkan ketinggian mungkin akan berdepan kesukaran tapi ia hanyalah adrenalin ekstra untuk menonton filem ini.

Untuk projek ini, penerbit melantik arkitek terkemuka dunia, Adrian Smith yang pernah mereka Burj Khalifa dan Menara Jeddah untuk mereka bangunan dikenali The Pearl yang dijadikan premis penggambaran filem Skyscraper.

THE Pearl, premis utama filem yang direka khas oleh arkitek tersohor dunia, Adrian Smith.
THE Pearl, premis utama filem yang direka khas oleh arkitek tersohor dunia, Adrian Smith.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:20 PM