Extreme menyanyikan 15 lagu buat peminat pada persembahan di Kuala Lumpur. FOTO RIADZ RADZI
Extreme menyanyikan 15 lagu buat peminat pada persembahan di Kuala Lumpur. FOTO RIADZ RADZI
Riadz Radzi


BAND funk metal dari Amerika Syarikat (AS) Extreme memukau lebih 1,000 penonton dalam konsert mereka berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, malam tadi.

Extreme yang dianggotai Nuno Bettencourt (gitar), Gary Cherone (penyanyi), Pat Badger (bass) dan Kevin Figueiredo (dram) memberikan persembahan terbaik dan bertenaga apabila penonton nyata terhibur dan menyanyi bersama-sama.

Nuno yang diiktiraf antara gitaris rock terbaik dilihat mendominasi konsert dengan ‘skill’, teknik dan ‘sound’ memukau. Ini ditambah dengan gandingan bersama Gary yang cukup berpengalaman termasuk pernah menganggotai band rock legenda, Van Halen.

Sejak ditubuhkan di Massachusetts, AS pada 1985, ini kali pertama Extreme mengadakan konsert di Malaysia. Ia sempena konsert jelajah Asia yang bermula di sini hari ini. Selain Kuala Lumpur, Extreme turut singgah di Singapura, Bangkok dan Taipei.

Mereka baru selesai mengadakan konsert jelajah Australia bersama Mr Big yang berakhir kelmarin.

Dalam konsert anjuran IMC Live Group berdurasi dua jam itu, Extreme mempersembahkan 15 lagu antaranya It’s (A Monster), Li’l Jack Horny, Get The Funk Out, Rest In Peace, Hip Today, Take Us Alive, Decadence Dance serta lagu paling popular mereka yang melonjak nama Extreme ke seluruh dunia iaitu More Than Words.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 11:32 PM