INCUBUS dianggotai Jose Pasillas, Ben Kenney, Brandon Boyd, Mike Einziger dan Chris Kilmore.
INCUBUS dianggotai Jose Pasillas, Ben Kenney, Brandon Boyd, Mike Einziger dan Chris Kilmore.
Zaara Talita


BAND Incubus nama yang tidak asing lagi bagi peminat muzik genre rock.

Berbekalkan reputasi pencapaian dan kejayaan mereka yang amat membanggakan dalam industri muzik antarabangsa, kembalinya mereka ke Malaysia untuk konsert siri Jelajah Asia 2024 adalah berita dinanti-nantikan peminat.

Selain Malaysia, Incubus mengesahkan persembahan mereka di Indonesia, Singapura, Filipina dan Jepun.

Incubus dianggotai Jose Pasillas, Ben Kenney, Brandon Boyd, Mike Einziger dan Chris Kilmore akan hadir ke Kuala Lumpur untuk Konsert Incubus - Live in Malaysia.

Band yang ditubuhkan sejak 1991 ini akan tampil di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 27 April 2024.

Konsert Incubus - Live in Malaysia dibawakan syarikat pengurusan acara terkemuka, Hitman Solutions.

Persahabatan terjalin di antara lima sekawan ini memainkan peranan penting dalam membentuk legasi muzik mereka.

Cukup terkenal dengan keupayaan untuk menggabungkan pelbagai genre dengan lancar seperti metal, funk dan hip-hop.

Bunyi unik dan persembahan mereka yang hebat berjaya menawan hati jutaan peminat di seluruh dunia.

Selama bertahun-tahun, Incubus mencapai pelbagai kejayaan luar biasa, menjual lebih daripada 23 juta album di seluruh dunia dan menerima pelbagai anugerah platinum dan multi-platinum.

Peminat setia mereka yang menjangkau lebih dua dekad sangat mendambakan mereka kembali ke pentas konsert.

KEHADIRAN ke Kuala Lumpur sempena Jelajah Asia 2024.
KEHADIRAN ke Kuala Lumpur sempena Jelajah Asia 2024.

Permintaan peminat menjadi faktor utama mereka untuk memulakan jelajah konsert pada 2024.

Hitman Solutions menyasarkan untuk terus memukau penonton global dengan persembahan Incubus di Kuala Lumpur.

Melayani peminat muzik rock tempatan dan antarabangsa, Hitman Solutions komited menyediakan pengalaman hiburan artistik terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkongsi keterujaannya mengenai konsert yang akan datang.

Malah, kekuatan nama Incubus sendiri tidak dapat disangkal lagi.

"Sebagai peminat rock, saya sangat teruja mengumumkan usaha konsert ini dengan sebuah kumpulan rock antarabangsa paling berjaya sepanjang zaman iaitu Incubus untuk persembahan mereka di Malaysia dalam siri Jelajah Asia 2024.

"Permintaan mereka kembali ke Malaysia begitu ketara, terutama ketika kami melihat keterujaan terhadap konsert ini di negara-negara jiran.

"Oleh itu, kami bertungkus lumus demi memuaskan hati peminat rock tempatan dengan membawakan mereka untuk menyanyi bersama beberapa lagu klasik seperti Drive, Wish You Were Here dan kegemaran peribadi saya, Pardon Me," katanya.

Tiket konsert Incubus Jelajah Asia 2024 sudah mula dijual ia dikategorikan kepada tiga zon utama: CAT 1 - Tempat Duduk VIP (RM299), CAT 2 - Tempat Duduk Biasa (RM249), dan Rockzone - Berdiri Bebas (249). Untuk pembelian tiket, sila lawati laman sesawang hitmanlive.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:31 AM