GABUNGAN mantap (dari kiri) Smith, Valory dan Schon.
GABUNGAN mantap (dari kiri) Smith, Valory dan Schon.
Riadz Radzi


Dalam dunia muzik rock, nama Journey bukanlah asing. Album mereka terjual lebih 90 juta unit di seluruh dunia dan akhbar USA Today menyenaraikan mereka sebagai band rock Amerika Syarikat (AS) kelima terbaik dalam sejarah muzik rock negara itu.

Malah, pada 7 April ini, Journey yang ditubuhkan di San Francisco, AS pada 1973 akan disenaraikan dalam Rock & Roll Hall of Fame berdasarkan pencapaian mereka sejak lebih 40 tahun lalu.

Bagaimanapun, faktor itu nampaknya belum cukup untuk menarik peminat di Malaysia apabila kurang 2,000 penonton yang hadir dalam Konsert Journey Live in Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu.

Walaupun dikenali di seluruh dunia, hakikat yang harus diterima ialah populariti Journey di negara ini tidaklah gah seperti band rock ‘mainstream’ lain antaranya Bon Jovi, Def Leppard ataupun Guns N’ Roses.

Rata-rata penonton yang hadir berusia 40 tahun ke atas termasuk golongan ‘mat salih’ yang menetap di sini.

Sejak 1975, Journey sudah menghasilkan 14 album studio dan yang paling diingati pastinya album Escape pada 1981 dan Frontiers pada 1983 yang menakluk carta Billboard ketika itu.

Kedua-dua album inilah yang memuatkan lagu ‘evergreen’ mereka iaitu Open Arms, Don’t Stop Believin’, Faithfully, Separate Ways dan After the Fall.

Open Arms yang diiktiraf sebagai antara penciptaan lagu cinta paling hebat pernah dirakam semula beberapa penyanyi popular seperti Mariah Carey, Celine Dion, Boyz II Men, Barry Manilow dan kumpulan Kpop EXO.

Walaupun kehadiran penonton tidak begitu memberangsangkan, tetapi itu bukan penghalang buat Journey yang kini dianggotai Arnel Pineda (penyanyi), Neal Schon (gitar), Ross Valory (bass), Jonathan Cain (keyboard) dan Steve Smith (dram) tampil dengan persembahan berkualiti.

Walaupun tanpa penyanyi asal lagu hit mereka iaitu Steve Perry yang meninggalkan band ini pada 1998, penggantinya, Pineda jelas tidak menghampakan.

Pineda yang berasal dari Filipina dan menyertai Journey pada 2007 berjaya membawakan lagu Journey dengan cukup baik.

Journey yang sinonim dengan genre progresif rock, soft rock dan jazz fusion serta lagu dengan vokal bernada tinggi nyata tidak mendatangkan masalah buat Pineda.

Malah, vokal Pineda tidak banyak bezanya dengan Perry ketika dia membawakan lagu popular Journey.

Persembahan pembukaannya menerusi lagu Separate Ways nyata sudah mengujakan penonton.

Walaupun tampil sebagai anggota paling ‘junior’, Pineda berjaya membuktikan keserasiannya bersama ‘otai-otai’ Journey.

Selain vokal, Pineda juga berjaya mengawal pentas dengan baik. Malah, dia juga membuat kejutan dengan turun ke pentas untuk bersama dengan penonton.

Kewibawaan pemain gitar, Neal Schon tidak perlu dipertikaikan. Schon yang pernah menjadi pemain gitar Carlos Santana adalah satu-satunya anggota Journey yang tidak pernah meninggalkan band itu sejak 1973.

Bersama gitar Paul Reed Smith, Schon memukau penonton dengan solo-solo menarik dan mencengkam.

Malah, sebelum itu Schon turut menerima kunjungan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah yang juga salah seorang peminat setianya.

Pemain dram, Steve Smith turut mencuri tumpuan pada malam itu. Cara permainannya tenang, tetapi impak yang diberikan cukup memukau terutama ketika segmen dia melakukan solo dram.

Smith yang tiga kali menyertai Journey sejak 1978 antara pemain dram terbaik dunia. Hasil undian pembaca majalah Modern Drummer meletakkannya sebagai Pemain Dram Terbaik selama lima tahun berturut-turut.

Pada 2001, Smith dinamakan sebagai antara 25 Pemain Dram Terbaik Sepanjang Zaman dan pada 2002, dia dicalonkan dalam Modern Drummer Hall of Fame.

Dua lagi anggota Journey iaitu Valory yang juga peman bass asal Journey dan Cain yang banyak menghasilkan lagu popular mereka turut hebat di posisi masing-masing.

Pada malam itu, Journey membawakan 15 lagu iaitu Separate Ways, Be Good To Yourself, Only The Young, Stone In Love, Anyway You Want It, Lights, Open Arms, Who’s Crying Now, Chain Reaction, La Do Da, Wheel In The Sky, Faithfully, Don’t Stop Believin’, La Raza dan Lovin’ Touchin’ Squeezin’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 6:21 AM