LUCA Sickta (kiri) dan Kmy Kmo. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
LUCA Sickta (kiri) dan Kmy Kmo. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syafil Syazwan Jefri


PENCIPTA, penulis lirik lagu yang juga penyanyi lagu Gong Nekara, Kmy Kmo dan Luca Sickta yang menjadi tular baru-baru ini, tidak menganggap isu lagu itu yang dikatakan sindiran kepada lagu Mambang nyanyian Altimet, satu masalah besar buat mereka.

Menurut anak didik rapper dan komposer, Malique itu, mesej yang disampaikan menerusi lagu itu adalah secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa secara spesifik.

“Kami sebagai komposer dan penulis lirik untuk Gong Nekara tidak menganggap apa yang berlaku adalah masalah besar.

“Gong Nekara dihasilkan untuk menyampaikan mesej secara umum. Namun, kalau ada pihak yang ingin mengaitkannya dengan sesuatu situasi, kami tak boleh halang,” kata Luca atau nama sebenarnya Shameer Ashraf kepada Harian Metro.

Tambahnya, sekiranya ada yang menganggap Gong Nekara adalah lagu sindiran, itu ertinya pendengar benar-benar mengkaji.

“Maksudnya, mereka benar-benar mendalami dan mengkaji setiap bait kata dalam lagu itu. Tapi, tak semua orang menganggap ia adalah sindiran.

“€œAda juga yang memberikan reaksi kepada kami dan mengaitkan lagu itu dengan mesej ketuhanan. Itu juga kami tak nafikan,” katanya lagi.

Bagi Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim pula, ini adalah eksperimen pertama mereka.

“Kami cuba bereksperimen dalam berkarya dengan mengetengahkan elemen Nusantara dalam Gong Nekara.

“Tak sangka pula ia akan tular secepat ini. Ia memang di luar jangkaan dan apa yang boleh saya katakan, sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Altimet yang ditemu bual Harian Metro sebelum ini tidak menganggap Gong Nekara dicipta untuk membidas lagunya.

“Nama saya ada disebut dalam lagu itu tak? Bukan pasal sayalah. Lagu saya ada sebut nama sesiapa tak? Bukan pasal merekalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 3:10 PM