ALTIMET ketika majlis pelancaran album terbaru berjudul ‘Air’ di Timbre@ The Row. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
ALTIMET ketika majlis pelancaran album terbaru berjudul ‘Air’ di Timbre@ The Row. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Georgie Joseph


PENYANYI Altimet meminta supaya hentikan spekulasi yang mengatakan dia ‘berperang’ dengan Malique dan menggunakan lagu untuk menghentam satu sama lain.

Altimet, 40, berkata selagi dia sendiri tidak menyebut nama sesiapa dalam lagunya dan sebaliknya, ia tiada kaitan dengan siapa-siapa.

“Saya rasa dia tidak balas pun. Malique ada lagu barukah? Betulkah dia menggunakan anak didik dia?

“Nama saya ada disebut dalam lagu itu tak? Bukan pasal sayalah. Lagu saya ada sebut nama siapa-siapa tak? Bukan pasal merekalah,” katanya menjawab dakwaan itu.

Altimet turut menjelaskan setiap lirik lagunya adalah luahan pengalaman dirinya sendiri dan bukan berniat untuk menyindir sesiapa.

“Kita buat lagu berdasarkan pengalaman kita. Orang mentafsirkan lagu berdasarkan pengalaman mereka.

“Jadi kalau mereka kaki sindir atau sering disindir orang lain, mereka akan melihat ia sebagai sindiran dan terasa sendiri. Tetapi bagi saya, ia bagi mencerminkan diri saya sendiri.

“Sebab itu dalam lirik Amboi saya ada sebut: ‘bukan nak sekolahkan korang tapi aku bahasakan aku’,” katanya sewaktu ditemui pada pelancaran album terbarunya berjudul Air.

Terdahulu, kecoh di media sosial Altimet dan Malique dikatakan berperang menerusi lirik lagu mereka selepas penyanyi berkenaan melancarkan lagu Mambang baru-baru ini.

Lirik lagu berkenaan dikatakan menyindir Malique yang sudah lama menyepikan diri daripada industri seni.

Kemudian, Malique kemudian didakwa membalasnya menerusi lagu anak didiknya Kmy Kmo dan Luca Sikta berjudul Gong Nekara yang dilancarkan beberapa hari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 10:50 AM